Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Shuib minta jangan diungkit imej seksi lama bakal isteri

Pelawak dan usahawan terkenal, Shuib, yang bakal menamatkan zaman dudanya tidak lama lagi memohon agar tiada sesiapa terus ‘menggali’ sejarah lama memaparkan imej-imej seksi bakal isterinya, Watie Hanifiah, di media sosial.

Shuib yang semakin mendekati tarikh bergelar suami sekali lagi berkata, perbuatan pihak terbabit adalah tidak wajar memandangkan Watie kini sudah berubah dan dalam fasa belajar bertudung.

“Perkara sebegitu kita tak boleh nak halang. Tapi saya berharap, kalau seseorang sedang menuju ke arah kebaikan, fikirlah yang lebih positif.

“Bagi saya, ia tak sepatutnya (orang terus mencari keburukan) begitu... gambar lama janganlah diungkit,” katanya.

Mengulas siri kecaman di media sosial yang muncul sejak mengumumkan pertunangan dengan wanita berkenaan, penghibur bernama sebenar Shahmira Muhammad itu meminta agar orang ramai dapat menghormati keputusannya.

Justeru, Shuib, 38, berharap agar peminat sentiasa mendoakan perkara yang baik-baik buat mereka.

“Saya hargai siapa saja yang datang dalam hidup sepertimana saya hargai arwah Siti Sarah. Dia cukup luar biasa dalam hidup saya.

“Tapi apabila Allah buka dan tunjukkan jalan lain, saya kena hargai dan itulah kehidupan baru yang perlu dijaga.

“Ini semua berbalik kepada apa yang kita sendiri rasa. Cakaplah apa saja, yang rasa itu kita. Orang tak faham apa yang kita lalui,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Walimatulurus Shuib & Watie di Astro, Bukit Jalil, kelmarin.

Bagai angin lalu saja

Watie yang juga usahawan dilihat sering berdepan kecaman apabila berkongsi imej yang disifatkan seksi oleh segelintir pihak kerana menampakkan sosok badan walaupun sudah bertudung.

Rentetan itu, ada pula pihak yang mula mencari imej-imej lama wanita terbabit sebelum dia memakai tudung.

Baru-baru ini, walaupun tanpa menyebut nama tertentu, Watie secara berseloroh memberitahu di Instagram dia terpaksa memadam imej-imej lama yang seksi selepas ‘dimarahi’ seseorang yang dipercayai Shuib.

Shuib sebelum ini kehilangan Siti Sarah Raissuddin yang menjadi korban Covid-19 pada 9 Ogos lalu.

Arwah dan Shuib mendirikan rumah tangga pada 2011. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan empat anak - Uwais Alqarni, 11; Dzahira Talita Zahra, 9; Ariq Matin, 6; dan Ayash Affan, 2.

Shuib dan Watie mengikat tali pertunangan pada 6 Mei lalu dan dijadual bernikah pada 23 Jun ini.

Sementara itu Watie pula berkata, dia tidak ‘makan hati’ dengan komen-komen negatif yang berlegar di ruang media sosialnya bahkan menanggapinya seperti “angin lalu” saja.

“Saya tak ambil hati sebabnya kalau baca komen itu macam angin lalu saja. Apabila tutup telefon, ia habis,” katanya.

Ditanya perasaannya apabila dia kerap dibandingkan dengan arwah Siti Sarah, Watie berkata ketika ini hanya pendapat bakal suami dan keluarganya saja yang penting.

“Kami tak pernah bincang perkara ini dan tak ada persoalkan kenapa orang bandingkan saya dengan arwah.

“Saya baca komen, tapi habis setakat di situ saja. Bagi saya, saya nak hidup bersama dia (Shuib) dan anak-anak.

"Pada saya, pandangan yang saya perlu ambil kira adalah daripada Shuib, anak-anak dan keluarganya saja,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS