Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Hafidz Roshdi disahkan waras, layak dibicarakan

Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini diberitahu pelakon Hafidz Roshdi disahkan waras dan boleh dibicarakan atas pertuduhan mencederakan isterinya pada Mac lepas.

Timbalan pendakwa raya Asmaa’ Zamri berkata ia berdasarkan laporan psikiatri yang dikeluarkan Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak ke atas Hafidz Roshdi atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 29.

“Pihak pendakwaan menerima laporan psikiatri itu dan laporan tersebut menyatakan tertuduh adalah waras dan boleh dibicarakan oleh mahkamah ini," katanya semasa sebutan kes di hadapan hakim Mohd Kafli Che Ali yang bertindak sebagai majistret.

Asmaa turut memohon kepada mahkamah suatu tarikh sebutan lain ditetapkan bagi serahan dokumen.

Peguam tertuduh, Akberdin Abdul Kader, memohon supaya salinan laporan psikiatri itu dapat diserahkan kepada pembelaan untuk pihaknya meneliti kandungan laporan berkenaan.

Namun Asmaa berkata pendakwaan hanya mempunyai satu salinan laporan dan ia akan diserahkan pada sebutan kes akan datang.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 Julai untuk sebutan semula kes tersebut.

Pada prosiding sebelum ini, mahkamah memerintahkan supaya pelakon itu mendapatkan pemeriksaan dan rawatan psikiatri selepas pihak pendakwaan memohon dia dirujuk ke Hospital Bahagia mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Pada 13 Mac lalu Hafidz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, dengan menumbuk pipi kiri wanita itu sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak.

Pelakon drama bersiri Tundukkan Playboy Itu dituduh melakukan kesalahan tersebut berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya, Kuala Kubu Bharu pada jam 3.22 pagi, 2 Mac lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS