Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Eizlan Yusof pilih sertai PAS?
Diterbitkan:  Jun 9, 2023 12:54 PM
Dikemaskini: 4:54 AM

Pelakon dan pengarah filem, Eizlan Yusof, dilihat terus melebarkan langkahnya dalam politik apabila dipercayai bakal menyertai Perikatan Nasional (PN) melalui PAS.

Spekulasi itu muncul susulan siri gambar pelakon itu bersama beberapa figura politik PN dan Muafakat Nasional (MN) termasuk pengerusi badan itu, Annuar Musa, mula tersebar di media sosial sejak beberapa minggu lalu.

Terbaru, Eizlan dilihat menerima kad keahlian kumpulan Alternative Riding Club (ARC), sebuah pertubuhan yang ditubuhkan Pemuda PAS Malaysia.

“Saya tak nak komen apa-apa mengenai perkara itu (masuk PAS). Tunggu saja pengumuman berkaitan sekiranya perkara itu benar-benar berlaku.

“Buat masa ini saya hanya menjalankan tanggungjawab kerana diberi kepercayaan oleh Annuar untuk bersama MN yang berperanan sebagai platform NGO untuk melaksanakan program ke arah kemuafakatan, perpaduan dan tanpa bersifat perkauman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum menyertai politik Eizlan, 51, pernah berlakon dalam banyak filem termasuk Pisau Cukur, Songlap, Pencuri Hati Mr Cinderella dan Paskal.

Menjelang PRU ke-15 pada Nov tahun lalu dia adalah antara beberapa personaliti seni yang terlibat secara langsung dalam proses itu dengan menjadi calon parti Pejuang di Sabak Bernam.

Di kawasan parlimen yang memiliki 51,609 pengundi berdaftar itu Eizlan berjaya memperoleh 460 undi. Kerusi yang terletak di utara Selangor dan bersempadan dengan Perak itu dimenangi calon PN, Kalam Salan, yang mendapat 17,973 undi.

Kalam mengatasi pencabar terdekat, Abd Rahman Bakri (BN) dengan perbezaan 5,056 undi.

Eizlan yang juga Ketua Penerangan MN Selangor Muafakat Nasional berkata jiwa NGO yang ada dalam dirinya melihat Annuar benar-benar serius untuk mempromosikan perpaduan ummah selain menjunjung keutuhan sistem politik negara yang lebih baik.

NGO yang mula membuka keahliannya kepada orang ramai sejak 10 Dis 2022 kini didakwa mempunyai lebih 100,000 keanggotaan.

Annuar merupakan seorang pemimpin kanan Umno sebelum dipecat parti itu tidak sampai sebulan selepas PRU ke-15 berakhir. Bekas ahli parlimen Ketereh itu kemudian mengesahkan memohon untuk menyertai PAS pada Mac lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS