Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Shuhaimi Lua belanja besar demi Malam Zulaikha
Diterbitkan:  Jun 7, 2023 10:05 PM
Dikemaskini: 2:05 PM

Demi mendapatkan hasil maksimum dan kualiti karya yang bertaraf “premium” pengarah Shuhaimi Lua Abdullah sanggup mengeluarkan perbelanjaan besar walaupun untuk sebuah drama terbitan televisyen (TV).

Katanya, pembikinan drama agak sukar memandangkan dia perlu menggunakan peralatan yang banyak digunakan dalam filem-filem seram seperti untuk aksi terbang dan terangkat di udara menggunakan tali atau rigging yang diketuai koordinator lagak ngeri, Abang Lan.

“Babak Zulaikha diletak atas dahan di atas pokok kemudian dia jatuh ke bawah disambut oleh Adam Lee. Kipas besar digunakan untuk menggambarkan kehebatan kemunculan Wangi semasa Suria datang mencari Wangi.

“Saya sanggup keluarkan belanja yang agak besar untuk merealisasikan babak-babak itu. Kalau diikutkan drama biasa saya tak perlu pun nak buat kerana pihak stesen tidak pernah mengarahkan saya pun.

“Itu adalah tanggungjawab saya terhadap karya saya sendiri walaupun hanya drama TV. Saya nak penonton merasakan kelainan bila menonton Malam Zulaikha. Ini bukan drama biasa sebaliknya sebuah karya premium,” katanya.

Shuhaimi juga amat menitikberatkan kesesuaian lokasi penggambaran Malam Zulaikha.

“Saya sanggup bayar harga mahal untuk mendapatkan lokasi itu. Contohnya rumah agam, saya bayar RM2,000 sehari dan membayar deposit sebanyak RM10,000.

“Saya bertuah juga apabila seorang pengusaha, Hilmi sanggup menaja ladang mereka di Slim River untuk drama ini,” katanya.

Malam Zulaikha terbitan syarikat produksi Tanah Beris Film Production itu dijadual menemui penonton esok di slot Samarinda TV3, jam 10 malam.

Selain Adam Lee, drama hasil tulisan skrip Syed Mohamad Taufik Syed Abdul Jalil sebanyak 15 episod itu turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Sweet Qismina sebagai Zulaikha, Maria Farida (Mustika), Ku Fridah (Salbiah) dan Fiza Thomas (Farah).

Turut berlakon ialah Amyza Aznan (Suria), Syahmie (Haikal), Danny Shah (Damia), Rahim Jailani (Rahim), Dilla Ahmad (Juhara), Vanidah Imran (Wangi), Syahmimi Kaman (Mi), Azhar Amir (Ali), Rasyidah Jaapar (Mak Som -Tua), Zalfa Zin (Mak Som-Muda), Aisy (Tok Bomoh), Kael (Adib), Damia Qaissara (Zulaika-Kecil) dan Aiman Minsi (Buyung).

Malam Zulaikha berkisahkan kehidupan Zulaika sebagai pelajar tahun akhir sebuah kolej yang sering mengalami gangguan mistik sejak kecil.

Dia berkongsi perkara itu dengan rakan sebiliknya, Farah. Farah berpendapat, situasi dialami Zulaikha berpunca daripada gangguan jin atau saka.

Menurut Suhaimi, pemilihan pelakon dibuat melalui perbincangan dengan TV3 dan kata sepakat dicapai untuk menggandingkan pasangan suami isteri Adam Lee dan Sweet Qismina.

“Pada permulaan saya agak risau juga apabila mendapati Sweet kurang sihat dan kurang cergas. Menerusi beberapa siri perbincangan dengan ibunya, saya kurangkan sikit babak yang membabitkan saka.

“Tapi melihatkan kesungguhan Sweet dan Adam Lee, ia memberikan semangat kepada saya untuk membuat yang terbaik untuk setiap babak. Sweet sanggup buat apa sahaja dan babak-babak besar semua dilakonkan sendiri olehnya.

“Satu lagi, perasaan saya agak gemuruh setiap kali melihat Maria Farida berlakon babak antagonis kerana saya tak sabar melihat kecomelanny menjayakan watak jahat.

“Ternyata Maria tidak mengecewakan saya dalam setiap lakonannya dalam Malam Zulaikha,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS