Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Maman Teacher’s Pet risau rasa hormat pada legenda rock kian hilang

Setiap penyanyi legenda wajar dikenang dengan penghormatan bukannya dicaci semata-mata kerana mereka pernah melakukan kesilapan atau memiliki kelemahan ketika usia semakin lanjut.

Penyanyi kumpulan Teacher’s Pet, Maman, berkata dia khuatir dengan senario industri seni negara apabila ada penyanyi rock yang suatu ketika dulu banyak memberi sumbangan kepada dunia rock tetapi semakin dilupakan jasa mereka.

“Saya khuatir apabila perasaan hormat itu hilang pada pemuzik kita seperti Amy Search dan Man Kidal.

“Saya kasihan pada mereka. Mereka itu manusia, tapi orang semakin suka mengecam. Kenapa apabila jadi veteran orang dah tak puji lagi, sedangkan dulu orang puji lagu mereka sedap?

"Semasa dalam keadaan umur macam sekarang, adakah ini yang peminat nak bagi,” katanya.

Bagi penyanyi yang terkenal dengan lagu Warisan Wanita Terakhir itu jika penyanyi seperti Amy mahupun Man Kidal tidak mempelopori industri rock tanah air, generasi muda tidak berpeluang menikmati era seperti itu.

Katanya mereka boleh dianggap sebagai antara kebanggaan negara.

Tanpa mereka, tambah Maman, dia beranggapan mungkin anak muda di negara ini tidak tahu bagaimana muzik rock Malaysia.

“Ada artis rock yang saya dengar khabar sampai tak boleh melihat media sosial sebab orang asyik mengutuk dia,” kata Maman ketika ditemui pada majlis pelancaran album barunya, Aku, di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam.

Album itu hadir selepas lebih 20 tahun Maman - atau nama sebenarnya Rosman Lamri - menyepi dari radar seni suara.

Justeru, Maman berharap mentaliti masyarakat dapat berubah dan mula lebih menghargai generasi terdahulu.

"Kalau bukan kita yang harus menghargai, siapa lagi?” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai status kewarganegaraannya, Maman yang berasal dari Singapura itu berkata dia kini sudah menjadi rakyat Malaysia sejak 2021.

Katanya dia memohon taraf kerakyatan negara ini sewaktu perintah kawalan pergerakan beberapa tahun lalu.

“Saya memohon untuk berhijrah dan menetap di Malaysia memandangkan sering berulang-alik ke sini untuk buat rakaman lagu.

“Pada awalnya bimbang juga kalau sukar dan gagal kerana saya dah banyak melabur untuk aktiviti pemasaran album dan karier seni saya di sini.

“Selepas menghilang lama, kali ini saya nak menetap di Malaysia,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS