Konsert Muse Will Of The People Tour pada 29 Julai ini bertukar lokasi dari Bukit Kiara Equestrian Resort ke Stadium Nasional Bukit Jalil atas beberapa faktor yang diambil kira dan lebih bersesuaian untuk jumlah penonton lebih ramai.
Penganjurnya, Hello Universe dalam kenyataan berkata tempat ikonik itu dipilih kerana kapasiti keluasan yang lebih besar.
“Perubahan lokasi ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur dengan kemudahan terkini dan kapasiti yang mengagumkan memberi latar belakang sempurna untuk acara ini.
“Peminat boleh mengharapkan pengalaman konsert yang mengasyikkan dan mengagumkan di salah satu tempat paling ikonik di rantau ini,” kata kenyataan itu.
Tiket konsert siri jelajah dunia band rock popular England itu mulai dijual hari ini.
Muse memilih Malaysia sebagai satu-satunya destinasi persinggahan di rantau Asia dalam siri jelajah bersempena album kesembilannya Will Of The People..
Menurut kenyataan itu lagi, bagi pemegang tiket sedia ada, tiket yang dikemas kini dengan maklumat tempat baru akan dihantar melalui e-mel kepada mereka yang berdaftar.
“Mereka akan dapat menggunakan tiket baru ini untuk masuk ke acara di lokasi baharu. Lokasi tiket untuk zon A, B dan C kekal sama.
“Susunan tempat duduk untuk zon lain akan diselaraskan untuk menyesuaikan penonton di lokasi baru, selain tempat duduk juga ditetapkan tempat baru.
Pemenang dua kali Anugerah Grammy itu pernah mengadakan konsert sulung di Stadium Negara pada 2007.
Di Asia pula, konsert terakhir mereka adalah pada 2019 ketika berlangsungnya Grand Prix Formula 1 Singapura, yang juga merupakan sebahagian dari jelajah konsert Simulation Theory.