Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Aina Abdul diancam boikot lepas peraga fesyen ala tilam toto

Gara-gara tampil dengan fesyen yang disamakan seperti tilam toto dan bantal, penyanyi Aina Abdul mengakui dia menerima ugutan peminat yang mengancam ingin memboikot dia di media sosial.

Tampil mempertahankan busana diperagakan, Aina berkata, dia ingin menjadi unik dan terpaksa bersusah-payah untuk terus dikenali kerana sedar, seseorang penyanyi tidak hanya boleh bersandarkan pada vokal semata-mata.

“Dalam industri kita kena akur. Secara realiti kita hidup dalam era industri yang bukan terima bakat semata-mata tapi perlu lebih daripada itu.

“Saya berada dalam industri sejak 2014 namun lebih dikenali sewaktu berusia 30 tahun, tempoh itu sangat lama.

“Ini juga saya anggap sebagai jati diri supaya peminat nampak Aina Abdul mempunyai kelainan tambahan pula saya suka penyanyi yang ada pakej seperti Rihanna dan Lady Gaga.

"Walaupun hijabi, kena jadi penyanyi berani tampil dengan fesyen,” katanya.

Menurut Aina, dia sebenar tidak menjangka peminat akan mengecam fesyen itu sebagai tidak kena pada tempat selain saiz baju yang dikatakan menghalang pandangan penonton.

Beri kebenaran pereka fesyen

Namun, penyanyi Sumpah itu berlapang dada sekiranya ada pihak yang mengecam wajah mahupun badannya.

“Saya sebenar rasa terkejut dengan respons penonton dan tak sangka netizen akan kecam dari segi kebesaran baju sebab pernah pakai baju lebih besar dari itu.

“Saya tak nak ulas, nanti orang cakap saya riak tapi duduk di belakang tempat juri memang tak akan nampak sebab kedudukan itu tinggi sedikit daripada penonton.

“Saya berhabis ribuan ringgit untuk mencantikkan wajah dan badan sampai ada peminat juga menyedari perkara itu jadi jika ada yang masih tak suka, tak apa, sebab hingga 2027 sekali pun isu itu akan tetap wujud,” katanya.

Aina berkata demikian pada majlis pelancaran Ali Zahra Holding Sdn Bhd dan lagu Kembara Nabawi - berniaga sambil beribadah di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam.

Terdahulu, Aina dikecam gara-gara fesyen ditampilkan sewaktu menjadi juri program kendalian sebuah stesen televisyen.

Aina juga menafikan dia membenarkan dirinya menjadi mangsa fesyen disebabkan keinginannya untuk menjadi unik.

“Tidak sama sekali.

“Ini jauh daripada apa mesej yang saya ingin ketengahkan iaitu bersesuaian dengan tema program pertandingan pada hari itu iaitu Galau.

“Saya benarkan pereka fesyen bebas tampil dengan idea, dan hasilnya ialah katil dan bantal sebab ia alat paling dekat dengan seseorang yang sedang berduka,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS