Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Penulis yang dalam hati ada taman
Diterbitkan:  May 28, 2023 9:25 AM
Dikemaskini: 1:25 AM

Penulis sajak atau puisi biasanya akan mencari serta menggali perkataan/perlambangan yang luar biasa untuk menggambarkan keadaan yang biasa.

Ini dilakukan bagi membuktikan keilmuan mereka dalam bidang yang ditekuni.

Bagi penggemar sajak dan puisi, ini adalah suatu hal yang halus dalam proses penghasilan karya-karya yang nantinya bakal diperkatakan dalam kelompok mereka.

Orang awam jarang mahu mengambil tahu betapa payah dan seninya menyusun kata-kata indah bagi menggambarkan perasaan sang penulis. Kecuali jika ia dijadikan lirik lagu.

Penulis lirik seperti arwah Loloq misal berjaya membawa orang awam ke dunia sastera susunan kata-kata.

Buku himpunan puisi Tusuk Temulang pula lari daripada semua kesempurnan menulis puisi - jika kita mengambil kira pemilihan kata-kata atau penggunaan perlambangan yang berbunga-bunga sebagai suatu piawaian dalam menulis sebarang sajak atau puisi.

"Bila marah, aku tulis" kata Khairulsani Ismail, penulis dan pelukis yang menghasilkan buku berkenaan.

Menurut Sani - begitu lelaki itu lebih mesra disapa - dia menulis bagi menghilangkan tekanan, rasa marah serta serba  salah. "Hal itu," tambahnya, "adalah lebih baik berbanding bertindak negatif."

Kerana hal demikian kita akan dapati puisi-puisi yang terdapat dalam Tusuk Temulang itu seperti ditulis dengan spontan. Ia adalah seperti kumpulan puisi deras yang perlu disiapkan segera sebagai suatu bentuk terapi kepada si penulis.

Semua puisi yang terdapat dalam buku Sani adalah amat sederhana, bahkan sesuai untuk semua orang. Sama ada mereka yang tekun atau kita yang awam.

Kumpulan puisi yang unik

Puisi Dalam Rasa, penulis menyorok apa yang dirasakannya, namun berkongsi keresahan tersebut di samping cadangan jalan keluar melalui rasa yang kita boleh andaikan sebagai tidak enak itu.

Fikiranku tidak menentu
Sejak akhir ini
Memikirkan sesuatu dari tadi
Menerawang keluar masuk dan pergi
Di dalam kotak fikirku ini

Dengan rasa jiwa aku tenangkan ia
Perlahan-lahan
Aku alihkan satu per satu
Agar dapat memberi ruang
Pada akal menilai kewajaran walau dihimpit dicelah-celahnya
Namun aku terjah jua dengan rasa berani

Agak berani juga adalah apabila penulis menghasilkan sendiri sketsa-sketsa untuk buku Tusuk Temulang.

Tidak diketahui sama ada sketsa tersebut memang khas dihasilkan untuk sesatu puisi atau sebaliknya diambil secara rawak dari koleksi penulis terbabit.

Sani yang lebih terkenal sebagai pelukis itu juga melakukan sesuatu yang berani apabila memberi suara yang lebih kepada karya-karya catan dengan menulis puisi mengenainya ataupun mengiringinya.

Yang menarik ialah apabila sketsa yang ada pada buku tersebut bukan sekadar hiasan atau tempelan, sebaliknya ada muka surat yang hanya menampilkan sketasa tanpa sebarang tulisan.

Ia menjadikan buku Tusuk Temulang sebagai naskhah kumpulan puisi yang unik. Hal itu mungkin tidak dapat dielakkan kerana - menurut Sani - jika diberi pilihan, dia lebih suka melukis berbanding menulis.

Dalam satu wawancara, Sani mengambarkan karya puisi sebagai keras namun - seperti siapa pun yang sudi menulis puisi - kita tahu bahawa dalam hati dia ada taman.

Lihat puisi Menyita Waktu ini misalnya:

Bersama sang kekasih
Dalam gelita malam

Berteman cahaya kelam
Di dinding sepi
Lalu disapa oleh angin sejuk yang ramah

Hanya pencinta sejati mampu menamsilkan angin yang keluar dari rongga sulit sang kekasihnya sebagai "angin sejuk yang ramah."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS