Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Selesaikan dulu isu dua lafaz talak luar mahkamah - Peguam

Status pengesahan dua kali lafaz cerai seperti didakwa pelakon Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin perlu diselesaikan terlebih dulu sebelum perbicaraan kes lain diteruskan.

Peguam syarie mewakili Puteri Sarah, Akberdin Abdul Kader berkata, Mahkamah Rendah Syariah menetapkan tarikh 14 Jun depan sebagai tarikh baru untuk status pengesahan lafaz cerai itu.

“Tujuan utama kita hari ini adalah untuk mahkamah mendengar penjelasan daripada pegawai JKP yang mengendalikan proses ini.

“Mahkamah berpuas hati dengan prosedur dijalankan oleh pegawai JKP dengan tertib.

“Dapatan JKP terhadap prosedur dijalankan mendapati perkahwinan itu tak dapat diselamatkan antara dikongsikan; adalah shiqaq, dan kewujudan pihak ketiga serta tidak bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah hari ini.

Akberdin juga berkata, sebelum meneruskan dengan proses berikutnya, peguam syarie mewakili Syamsul, Azmi Mohd Rais membangkitkan lafaz talak yang sudah dilafazkan oleh anak guamnya.

“Isu lafaz cerai di luar mahkamah perlu diselesaikan dulu kerana mahkamah perlu tahu ini sudah talak ke berapa.

“Dia kata ada dua lafaz dan satu taklik, taklik adalah conditional divorce,” katanya.

Pada 24 Mac lalu, selepas proses JKP berlangsung di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Puteri Sarah, 38, menyatakan proses itu gagal menemui jalan penyelesaian.

Aktres berkenaan berkata, tiada perkara perlu dirunding atau dibincangkan memandangkan hatinya tertutup untuk berdamai selepas nekad mahu bercerai.

Syamsul atau nama sebenarnya Mohd. Syamsul Mohd. Yusof, 39, pula selaku defendan sebelum ini memaklumkan enggan menceraikan isteri pertamanya kerana yakin rumah tangga mereka boleh diselamatkan, selain masih menyimpan perasaan sayang terhadap Puteri Sarah.

Pada 18 April lalu, proses cerai Puteri Sarah dan Syamsul terbantut berikutan aktres terbabit tidak bersetuju dengan syarat ditetapkan pengarah sensasi berkenaan antaranya yang menuntut kes saman terhadap Ira Kazar ditarik balik dan pengurangan jumlah tuntutan nafkah anak.

Puteri Sarah memfailkan cerai terhadap Syamsul mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Untuk rekod Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4.

Sementara itu, peguam syarie yang mewakili Syamsul, Azmi Mohd Rais berkata, anak guamnya menafikan lafaz cerai dua kali itu.

Menurutnya, mahkamah meminta isu lafaz dua kali cerai itu diselesaikan terlebih dulu sebelum kes tersebut dipanjangkan.

“Sebelum prosedur kes ini diteruskan, mahkamah meminta kedua-dua pihak memfailkan pengesahan lafaz cerai.

“Pihak hakim meminta plaintif (Puteri Sarah)memfailkan dakwaan lafaz cerai yang didakwa dilakukan sebanyak dua kali oleh Syamsul. Jadi dapatan (keputusan JKP) perlu ditangguhkah membabitkan perintah shiqaq,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS