Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ramlah tak rasa sunyi kerana berdamai dengan takdir

Berdamai dengan takdir, begitu Ramlah Ram menjelaskan kehidupannya yang sedikit pun tidak pernah berasa kesunyian walaupun dia tidak dikurniakan zuriat mahupun mengambil anak angkat.

Sebaliknya, penyanyi popular era 1980-an itu mencurahkan kasih sayangnya terhadap tiga ekor kucing peliharaan yang ‘setia’ menemani.

“Kalau nak rasa sunyi, dari dulu saya dah boleh rasa begitu, tapi tak... keadaan begini saya lalui dah 10 tahun, bukannya baru setahun dua.

“Kasih sayang boleh dicurah ke mana-mana.

"Ada orang suka pokok dan mereka mencurahkan sayangnya kepada pokok. Bagi saya, pengganti anak-anak dan pengubat kesunyian saya adalah kucing," katanya.

Berkongsi lanjut kisahnya, penyanyi lagu Sabarlah Sayang itu berkata, dia pernah membela sehingga 30 ekor kucing namun yang kini tinggal hanya tiga ekor.

Sesetengah kucingnya, kata Ramlah, mati kerana berpenyakit atau kerana tua.

Apabila ada kucing yang mati pula, tambahnya, dia berdepan dengan kesedihan yang mendalam sehingga sukar ditanggung.

Ramlah, 58, berkata dia enggan menambah bilangan kucing yang ada kerana risau jika sesuatu berlaku ke atasnya, tiada sesiapa yang boleh menjaga kebajikan haiwan tersebut.

“Jadi, saya selalu minta kepada Allah janganlah saya pergi dulu, nanti siapa nak jaga kucing-kucing saya,” katanya yang ditemui pada majlis hari raya dan ulang tahun pertama Suke TV di Kuala Lumpur malam semalam.

Untuk rekod, Ramlah pernah berkahwin dengan Kamal Roslim pada 3 Nov 2000 namun mereka bercerai pada 20 Mei 2010.

Mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Ramlah berkata, dia tidak mahu mengambil anak angkat pada usia sekarang kerana bimbang tidak dapat memberi sepenuh perhatian gara-gara sibuk mencari rezeki.

Katanya memang ada rakan yang menasihatkan dia agar cuba mengambl anak angkat.

"Saya takut nanti dia terabai sebab saya sibuk.

“Memanglah boleh saja suruh orang lain jaga, tapi buat apa? Yang terbaik ialah kita jaga sendiri, namun rasanya dah terlambat untuk ambil anak angkat," katanya.

Ramlah yang pernah berlakon dalam filem Buli Balik itu juga berasa selesa untuk mencurahkan kasih sayang kepada anak saudaranya yang ramai.

“Kalau kesunyian, saya jumpa anak-anak buah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS