Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sharnaaz akui biasanya sesi uji bakat 'jahanam dengan cemerlang'

Di sebalik imejnya yang ‘jahat’ ramai peminat mungkin tidak percaya Sharnaaz Ahmad seorang pelakon yang seringkali gagal dalam sesi uji bakat (casting) diadakan pihak produksi.

Kata Sharnaaz dengan bersungguh-sungguh, kegagalannya itu adalah sesuatu yang benar, bukan sekadar dibuat-buat.

“Wallahi, saya memang tak reti casting. Biasanya sesi itu akan jahanam dengan cemerlang.

“Ada saja buat (uji bakat) untuk filem-filem sebelum ini tapi semua gagal. Itu sebab saya tak suka buat,” katanya.

Namun, situasi itu berubah buat Sharnaaz, 37, apabila dia dimaklumkan oleh pengurusnya untuk menjalani uji bakat bagi menghasilkan filem Polis Evo 3.

“Tapi apabila penerbit filem itu (Joel Soh) memberitahu pengurus yang saya perlu lakukan uji bakat, saya terus berikan persetujuan, namun dalam hati ada terfikir: kalau 'mampus' pun. mampuslah.

“Saya tetap nak buat filem ini. Itu sebab saya dedikasi sepenuhnya diri saya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Malam Gala Polis Evo 3 di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sekuel terbaru Polis Evo dijangka menemui penonton melalui di 165 pawagam di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei bermula 25 Mei ini.

Kemunculan filem terbitan Astro Shaw bersama Skop Productions dan TV Pictures itu sekali lagi mengangkat imej dan kredibiliti pasukan Polis Diraja Malaysia.

Selain Sharnaaz, Polis Evo 3 turut dijayakan pelakon terdahulu seperti Zizan Razak yang membawakan watak Inspektor Sani, dan Shaheizy Sam (Inspektor Khai), manakala pelakon baru termasuklah Syafiq Kyle, Fara Ali Khan, Douglas Lim, Fauzi Nawawi dan Fezrul Khan.

Berkongsi lanjut mengenai pembabitannya dalam filem mendapat arahan Syafiq Yusuf itu, Sharnaaz berkata, dia terlalu teruja dengan tawaran tersebut sehingga langsung tidak memikirkan soal bayaran.

Paling penting, katanya, dia terbabit buat julung kali dalam francais filem aksi itu kerana sudah lama tidak berlakon dalam naskhah yang “sempurna.”

“Untuk filem ini saya memang tak kisah soal bayaran. Saya dedikasi sepenuhnya, tapi jika filem lain kena fikir juga sebab masih perlu pertimbangkan pasal periuk nasi saya.

“Saya memang dah lama nak berlakon dalam filem ini, itu sebabnya saya sanggup berlatih siang, malam sampai upah jurulatih sebab nak buat yang terbaik.

“Saya pun dah lama tak berlakon filem. Selalu dapat filem yang tak sempurna dari sudut suntingan, pengarahnya mahupun penerbit, Alhamdulillah untuk Polis Evo 3, saya dapat semua yang saya nak,” katanya.

Menurut Sharnaaz, sekiranya tidak dapat memberikan persembahan yang terbaik, dia memang tidak dapat mengelak daripada berasa hampa.

Malah dia yakin jika ada penonton dapat menjiwai emosi yang diberikan dalam lakonannya, ia berpunca daripada sikapnya memberikan yang terbaik secara jujur.

“Sebab saya dah buat yang terbaik. Kalau tak mampu buat yang begitu, saya akan sedih dengan diri sendiri.

“Pada masa sama, saya berdepan kecederaan selain perlu jalani pembedahan hidung yang berpunca daripada penggambaran Polis Evo 3 serta lalui pelbagai fasa dalam kehidupan.

“Jadi memang mudah menzahirkan emosi yang dikehendaki,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS