Adun Hulu Kelang, Saari Sungib, sedia untuk membantu menghasilkan skrip kisah lain mengenai Anwar Ibrahim jika ada pihak mahu menerbitkan filem berkenaan.
Kata Saari dia bersedia menyiapkan skrip kisah Anwar khususnya membabitkan hubungan baik perdana menteri ke-10 Malaysia itu dengan Dr Mahathir menjelang krisis pemecatan pada 1998.
Menurutnya masih ada banyak kisah yang boleh diceritakan dan difilemkan selain apa yang sudah dipaparkan dalam filem setakat ini.
"Jika nanti ada versi penuh Anwar: The Untold Story hendak diterbitkan, saya menawarkan diri menulis skrip berkaitan apa-apa bab yang melibatkan baiknya Anwar dalam konteks hubungan dengan Mahathir pada sebaik saja konspirasi jahat hendak dilancarkan," katanya kepada Malaysiakini.
Katanya masih ada kisah sebalik tabir bersifat ‘eksklusif’ yang menarik untuk dipaparkan dalam filem lain mengenai Anwar.
“Saya boleh ceritakan kisah yang mungkin Anwar sendiri belum tahu,” katanya.
Saari yang menjadi antara watak penting dalam gerakan Reformasi yang tercetus ekoran pemecatan Anwar dari kerajaan dan parti turut memuji penghasilan filem Anwar: The Untold Story yang setakat ini sudah mengumpul jualan tiket lebih RM1 juta.
Pada masa sama dia melihat tidak perlu dipolemikkan mengenai terhadnya pembabitan pelakon Malaysia dalam filem tersebut.
Katanya kartunis Zunar yang bertindak sebagai penerbit eksekutif filem berkenaan berjaya memperjuangkan asas tulen reformasi dan "kata-kata keramat" Anwar seperti "kalau takut pada risiko jangan bicara soal perjuangan."
Saari yang pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) memberitahu dia juga dimaklumkan skrip filem Anwar: The Untold Story turut mendapat 'sentuhan' Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
Pada masa sama Saari berkata kebebasan berkarya sangat penting dan ia menjadi antara cara terbaik bagi memantapkan pengukuhan ilmu serta pemantapan adab sesebuah bangsa.
"Inilah antara nilai Malaysia Madani, sesuatu ilmu itu harus diperkukuhkan dengan adab," katanya.
Pada masa sama Saari turut mencadangkan agar ahli politik bertindak menaja tiket filem tersebut untuk membolehkan lebih ramai rakyat negara ini menontonnya, sekali gus memahami kisah di sebalik perjalanan politik Anwar.
"Saya menyeru semua ahli-ahli yang berhormat - keluarkanlah peruntukan dan belilah tiket serta aturkan program agar Anwar: The Untold Story dapat ditonton oleh anak-anak muda
"Saya sendiri akan mengaturkan program bedah filem dengan menjemput isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail atau anak-anak mereka untuk berkongsi perjuangan ini," katanya.