Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Pengarah dan pelawak terkenal, Sabri Yunus, mengesahkan dia dipelawa menyertai program santai di Kelantan, namun setakat ini belum berpuas hati dengan tajuk poster yang tular mengenainya.

Dilihat berbau politik, Sabri berkata, dia menyedari perkara itu dan menganggap ia suatu kesilapan.

Selepas melihat poster itu yang dihantar kepadanya melalui WhatsApp malam tadi - memaparkan tajuk Anak Mudo Bermaruah Pertahan Kelate - seniman serba boleh itu berkata ia tidak betul.

Selain Sabri, turut dipaparkan pada poster tersebut ialah personaliti penceramah yang dilihat dekat dengan PAS, Azhar Idrus.

“Tajuk poster itu tak betul. Berlaku kesilapan daripada pihak urus setia penganjur program belia Kelantan.

“Saya terus hubungi wakil Ustaz Azhar lepas terima kiriman poster itu untuk memaklumkan yang saya tak setuju dengan judul berkenaan.

“Saya tegaskan yang saya tidak pernah meletakkan diri dalam mana-mana parti politik, tapi pada masa sama saya tetap seorang pengundi.

“Kapasiti saya sebagai wakil artis adalah untuk orang Kelantan, tapi bukan anggota parti mana-mana pihak,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beberapa hari lalu ada poster berkenaan program disertai Sabri beredar melalui media sosial dengan tajuk yang dianggap menunjukkan pengarah dan pelakon Duan Nago Bogho itu memihak - dan berkempen - untuk parti tertentu.

Program berkenaan dinyatakan bakal berlangsung di Tumpat, Kelantan pada 10 Jun ini.

Untuk rekod Kelantan merupakan satu daripada enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya tidak lama lagi.

Lima negeri lain yang akan terlibat sama ialah Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

Jati diri, seni budaya Kelantan

Menurut Sabri, selepas dimaklumkan mengenai "kesilapan" pada tajuk program berkenaan, pihak penganjur sudah memohon maaf dan berjanji untuk membuat tajuk yang baru.

“Mereka mohon maaf sebab terlepas pandang. Mereka juga ada hantar poster kedua (baru) dengan judul Demo Tanyo Ambo Jawab.

“Tapi tajuk itu pun saya masih tak setuju kerana maksudnya tak jelas.

"Saya kemudian cadangkan agar ia melibatkan sesi perbincangan berkenaan seni budaya dan batas-batas keagamaan,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Sabri berkata, dia bersetuju menyertai program terbabit kerana membabitkan nama Azhar dan menganggap ia bukan berkaitan politik.

Program tersebut, katanya, diibaratkan sama seperti mana-mana acara yang membabitkan kemunculan bersama artis.

“Saya fikir OK kalau sertai program bersama belia begini. Sebabnya, saya selalu babitkan diri bersama anak muda untuk aktiviti berkaitan jati diri serta seni dan budaya Kelantan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS