Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Produksi dakwa ada pawagam sabotaj filem Anwar: The Untold Story
Diterbitkan:  May 21, 2023 9:14 PM
Dikemaskini: 1:16 PM

Produksi filem Anwar: The Untold Story mendakwa sesetengah pawagam melakukan sabotaj terhadap tayangan naskhah biopik yang memaparkan kisah perjuangan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim itu.

Pengerusi DMY Creation, Mohamed Yusoff berkata, meskipun filem berkenaan mencatat kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangan, namun jumlah tersebut masih tidak mencapai sasaran susulan ada pawagam enggan memberi lebih slot tayangan.

“Saya kesal filem Anwar: The Untold Story disabotaj oleh pihak pawagam.

“Lebih mengecewakan ada pawagam menyediakan 40 slot tayangan untuk filem antarabangsa, namun hanya memberikan empat slot untuk naskhah yang mengangkat kisah perjuangan dan pengorbanan Perdana Menteri menentang amalan rasuah ini.

“Ia adalah tindakan tidak adil, sedangkan filem Anwar: The Untold Story ini sedang mendapat perhatian ramai, apatah lagi, ia mengenai kisah perdana menteri,” katanya dalam kenyataan.

Mohamed Yusoff berkata, pasukan produksi membuat tinjauan setiap hari untuk mengetahui respon penonton dan mendapati ada penonton tidak dapat menonton filem tersebut di beberapa pawagam berikutan tiada slot tayangan.

“Justeru, kami tidak boleh mendiamkan diri dan memilih untuk bersuara,” katanya.

‘Beri impak buruk terhadap filem tempatan’

Katanya, tindakan pawagam tidak memberikan sokongan terhadap filem tempatan memberi impak buruk terhadap pembangunan industri perfileman dan tidak adil buat pembikin filem tempatan.

“Kami menghasilkan karya dengan bajet tinggi, namun bagaimana industri perfileman tempatan mampu bergerak ke hadapan sekiranya pihak pawagam bertindak mensabotaj terhadap karya tempatan.

“Industri perfileman tempatan tentunya akan berada di takuk lama dengan tindakan tidak bertanggungjawab sebegini,” ujarnya.

Ujarnya lagi, pihak berkenaan juga perlu tahu membezakan antara politik dan hiburan.

“Kalau kita sendiri enggan memberikan sokongan terhadap karya tempatan, siapa lagi boleh membantu?

“Timbul juga persoalan apa yang menjadi penghalang pihak pawagam menyediakan lebih banyak slot tayangan dan siapa perlu bertanggungjawab?

“Saya berharap Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dapat memantau perkara ini agar layanan karya tempatan dan antarabangsa diberikan sama rata,” ujarnya.

Anwar: The Untold Story mendapat sentuhan sutradara Indonesia, Viva Westi dan dibintangi Farid Kamil yang memegang watak Anwar, manakala aktres popular Indonesia, Acha Septriasa membawa peranan sebagai Wan Azizah Wan Ismail.

Filem berkenaan berlatarkan tempoh antara 1993 dan 1998 ketika Anwar memegang jawatan sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan sebelum disingkirkan daripada kerajaan atas tuduhan salah laku seks.

FIlem selama 108 minit turut dibintangi oleh Hasnul Rahmat, Firdaus Karim, Saskia Chadwick, Piet Pagau dan Dewi Irawan.

Ia menemui penonton di 124 pawagam seluruh Malaysia sejak Khamis lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS