Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mual, loya tengok filem Anwar, kata Khairuddin 

Khairuddin Abu Hassan menyifatkan Anwar: The Untold Story sebagai filem haprak berunsur propaganda bertujuan memfitnah dan mencemarkan reputasi bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Penyokong kuat Mahathir itu membuat ulasan berhubung sebahagian kisah yang menceritakan perjalanan perjuangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu selepas selesai menonton filem berkenaan.

“Saya baru menonton filem Anwar: The Untold Story yang amat memualkan serta meloyakan. 

“Filem itu sekali gus mengangkat diri sendiri seperti Godfather,” katanya.

Bekas ketua Pejuang Wilayah Persekutuan itu turut berpendapat, filem mendapat arahan pengarah Indonesia Viva Westi tersebut mengandungi banyak fakta yang tidak tepat.

“Pembikinan filem tanpa proses kaji selidik yang berteraskan fakta tepat serta banyak unsur-unsur misleadings (mengelirukan),” tambahnya.

Filem Anwar: The Untold Story berlatar belakangkan zaman Anwar sewaktu memegang jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan dari 1991 hingga dipecat pada 1998.

Naskhah itu ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula semalam.

Antara barisan pelakon menjayakan filem itu adalah Farid Kamil sebagai Anwar, Acha Septriasa (Wan Azizah Wan Ibrahim), Hasnul Rahmat (Mahathir), Piet Pagau (bapa Anwar) dan Saskia Chadwick (Nurul Izzah).

Khairuddin juga mempertikaikan mengapa kisah mengenai tokoh Malaysia itu diarahkan seorang pengarah dari Indonesia dan bukannya seseorang dari negara ini.

Katanya disebabkan itulah, timbul kejanggalan sewaktu menonton filem yang mendapat arahan Viva Westi itu.

“Dalam masa yang sama saya merasai seolah-olah menonton filem Indonesia kerana pelakon-pelakonnya berusaha keras untuk bercakap bahasa Melayu tapi bunyinya sumbang.

“Ini kerana 99 peratus pelakon dari Indonesia. Tiadakah pengarah dari Malaysia untuk mengarah filem ini? Siapa yang menulis skrip filem ini?

“Hampir 95 peratus lokasi penggambaran juga di Indonesia,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS