Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Peminat Coldplay gesa perbaiki sistem, nyah ulat tiket
Diterbitkan:  May 18, 2023 5:37 PM
Dikemaskini: 9:37 AM

Peminat tegar Coldplay menggesa sistem pembelian tiket untuk menonton konsert siri jelajah kumpulan dari Britain itu diperbaiki bagi mengelak ia dieksploitasi ulat tiket.

Gesaan itu muncul di tengah kerancakan suatu petisyen dalam talian yang diusahakan oleh Iman Tang - seorang penganjur konsert tempatan - sejak semalam.

“Kalau ada hari kedua (konsert), tapi bots dan scalpers (ulat tiket) memonopoli sistem susah juga,” kata seorang pengguna Internet pada ruangan komen di Instagram Iman Tang.

Petisyen diwujudkan oleh Iman Tang menerusi laman Instagram (IG) sebaik saja tiket konsert Music Of The Spheres World Tour itu licin terjual melalui dalam talian.

Katanya, ada kira-kira 700,000 orang menunggu giliran untuk membeli tiket Coldplay bagi menyaksikan persembahan kumpulan yang terkenal dengan lagu Yellow itu di Stadium Bukit Jalil pada 22 Nov depan.

“Kesemua tiket itu disapu bersih dalam tempoh sejam kaunter pembelian dibuka. Justeru, kami memohon konsert dilanjutkan untuk hari kedua.

"Kamu mahu malam kedua? Jika ya, tanda tangan petisyen ini untuk dihantar ke vokalis, Chris Martin dan anggota bandnya,” tulis Iman Tang.

Ajak jangan bagi muka

Semakan Malaysiakini setakat petang ini mendapati petisyen itu mengumpul lebih 10,000 tanda tangan.

Terdahulu, tinjauan Malaysiakini di platform e-dagang seperti Shopee dan Carousell, ulat tiket didapati meraih keuntungan berlipat kali ganda daripada penjualan semula tiket konsert Coldplay.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, dalam ciapannya menegur pihak tertentu yang mengambil kesempatan membolot tiket hanya untuk menjualnya semula pada harga lebih tinggi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Salahuddin Ayub hari ini pula berkata, perbuatan menjual semula tiket pada harga keterlaluan boleh dikenakan tindakan.

Ia susulan timbul dakwaan iklan tiket yang pada asalnya berharga RM1,288 dijual semula pada harga RM43,200.

Selain Fahmi, kegiatan menjual semula tiket turut mendapat perhatian selebriti seperti Sheila Majid.

Penyanyi itu dalam hantaran Instagram Story (IGs) semalam meminta orang ramai memboikot perbuatan ulat tiket terbabit dengan tidak berurusan dengan mereka.

Selain Chris, kumpulan yang juga terkenal dengan lagu Fix You, Paradise, Something Just Like This dan Viva La Vida itu turut dianggotai, Johnny Buckland, Guy Berryman dan Will Champion.

Penjualan tiket Coldplay mencetus kontroversi sejak kelmarin apabila banyak pihak tidak puas hati dengan sistem pembelian tiket dilaksanakan penganjur.

Kehadiran band itu ke negara ini turut mengundang kontroversi beberapa tokoh politik apabila mereka menggesa rakyat memboikot band itu kerana didakwa memberi sokongan kepada LGBT.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS