Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Coldplay: Ulama PAS ajak orang ramai ingati tsunami, banjir
Diterbitkan:  May 17, 2023 5:32 PM
Dikemaskini: 9:36 AM

Selepas menjadi 'pengulas sukan' ekoran prestasi suram kontinjen negara di Sukan SEA Kemboja, tokoh ulama PAS memberikan perhatiannya kepada bidang seni pula.

Selaras dengan desakan dibuat partinya, bekas timbalan ketua Dewan Ulama PAS Selangor Ahmad Dusuki Abdul Rani petang ini berkata, pelbagai kejadian bencana yang berlaku merupakan peringatan daripada Allah.

Dia yang pernah menjadi calon PAS dalam PRU ke-14 pada 2018 berkata, kejadian seperti tsunami, banjir, Covid-19 dan tanah runtuh merupakan 'petunjuk' Tuhan, justeru sepatutnya menginsafkan orang Islam.

Mengiringi komennya dengan tangkap layar laporan berita hiburan, Ahmad Dusuki mengaitkan bencana yang disebutnya itu dengan konsert Coldplay yang bakal berlangsung pada Nov nanti.

Dia kemudian mengajak orang ramai "membantu orang yang tidak bersalah" dengan menolak "program laknat" tersebut.

"Apakah kita masih tidak mengambil pengajaran daripada itu semua?

"Bagi sesiapa yang berhasrat dan membeli tiket ini, jika pun kalian tidak berasa takut dengan ingatan Allah, bantulah orang yang tak bersalah agar tidak menyokong program laknat ini!!" tulisnya di media sosial.

Terdahulu Ahmad Dusuki menyindir kerajaan ekoran prestasi buruk kontinjen negara di Kemboja dalam temasya dwitahunan berkenaan.

Bahkan dia turut mengaitkan prestasi atlet negara dengan kedatangan pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka diadakan tidak lama lagi, termasuk di Selangor.

Coldplay merupakan kumpulan rock British yang dijadual mengadakan persembahan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 22 Nov ini.

Di sebalik harga tiket yang dianggap tinggi, media melaporkan, semua tiket habis terjual dalam tempoh hanya tiga jam selepas ia dibuka pagi tadi.

Untuk rekod penganjuran konsert bukanlah sesuatu yang asing di negara ini.

Ia turut pernah berlangsung ketika PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat antara 2020 sehingga Nov 2022.

Antara artis antarabangsa yang pernah mengadakan konsert dalam tempoh itu ialah Billie Eilish, Boys Like Girls, dan Dewa19.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS