Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pelawak kena berperanan bagai penceramah, menegur dalam lucu

Seniman terkenal, Sabri Yunus, mempunyai pandangan tersendiri apabila ditanya mengenai peranan yang boleh dilakukan golongan pelawak di negara ini.

Kata pengarah dan pelakon terkenal itu, seseorang pelawak boleh diibaratkan seperti penceramah kerana peranan mereka boleh menegur sebarang kebejatan secara umum melalui komedi.

Kata Sabri, dia yakin masyarakat hari ini lebih terbuka berbanding dulu, justeru boleh menerima komedi sebagai salah satu wadah yang berkesan untuk menyampaikan teguran atau kritikan.

“Melalui persembahan komedi, penonton boleh mendengar dan menerima apa diperkatakan pelawak itu secara tidak langsung.

“Kalau dulu-dulu orang lebih sensitif kerana tiada pentas komedi.

"Sebab itu bagi saya, kalau komedi dianggap hanya untuk ketawa semata-mata, maka peranan lawak itu tidaklah sebesar mana,” katanya.

Penyanyi pun ada kelebihan

Pengarah Duan Nagho Bogho itu juga terkenang lawak-lawak Seniman Agung Allahyarham P Ramlee yang masih segar sehingga kini.

Pada masa sama Sabri berkata untuk memahami komedi puluhan tahun silam dengan sekarang, seseorang perlu memahami konteks dan membezakan siapa penuturnya.

“Sebab itulah lawak sewaktu zaman P Ramlee, orang boleh terima sampai sekarang,” katanya pada sidang media Program Mega Spontan baru-baru ini.

Melalui program itu, Naim Daniel, Farahdhiya, Noreen Iman, Fadhli Masoot dan Sanjna Suri terbabit dalam siri hiburan komedi secara spontan berkenaan.

Mengulas wajah-wajah baru yang bakal menyerikan Mega Spontan, Sabri berkata, mereka dipilih kerana mempunyai bakat menyerlah sebagai pelawak walaupun asalnya tidak terbabit dalam persembahan komedi.

“Saya rasa peluang ini bagus diberikan kerana orang biasanya ingat hanya pelawak saja boleh menghiburkan.

“Kita tak tahu, mungkin penyanyi atau pelakon pun ada kelebihan yang sama.

“Mereka yang dipanggil menyertai Mega Spontan ini terpilih kerana memiliki nilai humor pada diri mereka. Di sini juga ruang untuk mereka belajar lebih mendalam mengenai komedi.

“Komedi itu bukan milik mereka yang sudah established sebagai pelawak saja,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS