Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dakwa Coldplay simbol LGBT, PAS terus lobi batal konsert
Diterbitkan:  May 15, 2023 2:16 PM
Dikemaskini: 7:43 AM

PAS terus mendesak kerajaan untuk membatalkan konsert jelajah dunia Coldplay yang dijadualkan di Kuala Lumpur pada 22 November ini. 

Dalam kenyataan hari ini, ketua penerangan PAS Johor, Abu Irfan Muhammad Al Urduni berkata bahawa kumpulan dari United Kingdom itu akan menyuburkan persefahaman LGBT di negara ini.

“Kita dikejutkan dengan jadual kehadiran Coldplay untuk mengadakan persembahan di negara kita atas alasan kebebasan dan daya penarik ekonomi, Kerajaan Malaysia Madani menjemput ia ke negara kita. 

“Namun, dalam masa yang sama dilupakan latar belakang sebenar Coldplay adalah merupakan simbol LGBT dunia.”

“Kehadirannya bukan hanya memperkenalkan Malaysia kepada pihak luar, namun kesan negatif daripada simbol LGBT akan mengakibatkan mereka yang berperwatakan sedemikian akan merasa lebih bebas dan terhormat,” katanya.

Sebelum ini AJK kerja PAS pusat Nasrudin Hassan juga mendesak  kerajaan supaya membatalkan konsert kumpulan rock itu. 

Dia pula melabelkan persembahan itu, sebagai tidak membawa sebarang kebaikan untuk negara, agama dan rakyat negara ini. 

Nasrudin juga mempersoalkan jika tindakan kerajaan itu bertujuan mahu menyuburkan budaya hedonisme dan songsang di Malaysia.

Sementara itu, Abu Irfan berkata langkah pendidikan yang bersepadu seharusnya diambil untuk berhadapan dengan golongan yang belum memahami agama Islam secara mendalam.

“Bukannya dengan cara memberikan kebebasan atas alasan hak asasi atau lainnya.

“Ini bagi mengelakkan kesan negatif daripada sesuatu tindakan tersebut yang akan tersebar kepada masyarakat umum khasnya muda mudi Islam.

“Ini kerana penganjuran konsert secara terbuka dan besar-besaran hanya akan membuka ruang kepada penyertaan masyarakat Islam sedangkan ianya jelas bercanggah dengan kehendak syariat,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS