Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Insiden ditampar Mat Over di hadapan perdana menteri pada 2017 tetap tidak menghalang penerbit filem terkenal, David Teo, untuk mengambil pelakon dan pelawak terbabit bekerja dalam mana-mana filem produksinya.

Kata David, dia tidak menyimpan sebarang dendam terhadap Mat Over malah sudah memaafkan pemilik nama penuh Sulaiman Yassin itu sejurus kejadian tersebut berakhir.

“Ada wartawan bertanya pada acara itu sama ada ingin ambil tindakan undang-undang terhadap Mat Over atau pun tak; saya jawab: tak.

“Kalau saya mahu menyaman dia, tentu boleh saja," katanya.

Malah menurut David, sewaktu bertemu Mat Over pada bulan puasa baru-baru ini juga, dia ada memberitahu pelawak terbabit bahawa kejadian itu sudah dilupakan.

“Saya tak mahu berdendam. Saya fikir, kalau tawarkan dia peluang berlakon adalah lebih baik kerana banyak watak yang sesuai untuk dia jayakan.

"Misalnya sebagai ustaz, ketua kampung mahupun Datuk,” katanya.

Kata penerbit filem Jangan Pandang Belakang itu, dia mahu berterusan berfikiran positif kerana mendapati rezekinya mencurah-curah selepas insiden di hadapan Najib Razak itu berlaku.

Kata David dia percaya rezeki seseorang boleh bertambah murah jika gemar memberikan kemaafan kepada orang.

Bahkan katanya peluang menambah rezeki semakin "meletup-letup" selepas ditampar Mat Over.

"Jadi, saya rasa tak ada masalah untuk saya berikan dia tawaran kerja hari ini.

“Susulan video ditampar tular pada malam kejadian, pengikut Instagram saya terus bertambah sebanyak 10,000 cuma insiden itu adalah sejarah yang tak perlu berulang. Ia adalah pertama, dan terakhir,” katanya.

Dengan Rosyam pun tiada masalah

David berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Raya Bersama MIG yang diadakan di sebuah restoran di Petaling Jaya malam tadi.

Selepas enam tahun kejadian berlaku, Mat Over mendekati David lalu memohon maaf kepada penerbit itu semasa menyertai majlis berbuka puasa.

Kata Mat Over insiden berkenaan berlaku mungkin disebabkan dia “hilang ingatan.”

Kejadian Mat Over menampar David pada sesi Dialog Transformasi Nasional TN50 yang diadakan bersama penggiat seni di Seri Perdana, di Putrajaya, pada 17 Mei 2017 menyebabkan acara itu terhenti seketika.

Insiden bermula apabila David menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pengacara, Rosyam Nor, kerana tidak memberi tumpuan ke arah penonton di bahagian tempat duduknya. Pelakon KL Menjerit itu sebaliknya didakwa hanya memberi fokus kepada penonton di barisan depan.

Sementara itu, ditanya mengenai hubungannya dengan Rosyam pula, David berkata, dia tiada sebarang masalah hingga kini bahkan mereka sentiasa bertukar-tukar buah tangan setiap kali tiba musim perayaan.

“Misalnya, dia hantar coklat semasa sambutan Tahun Baru Cina, manakala saya hantar epal (semasa Aidilfitri),” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS