Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menganjurkan majlis tahlil untuk allahyarham Mael XPDC atau nama sebenarnya Syed Ismail Syed Ibrahim bagi menghargai jasa penggiat seni tersebut dalam menyampaikan mesej kemanusiaan menerusi hiburan.

Majlis di Taski Abim Al Hidayah, Abim Muar, Johor itu juga disiarkan secara siaran langsung di Facebook dan Youtube.

Menurut wakil Abim Zairuddin Hashim, XPDC sebagai kumpulan rock lagenda memberi pengaruh besar terutamanya kepada generasi era 90-an dengan lagu-lagu berunsur kerohanian.

“Saya sendiri merupakan peminat XPDC dan dapat saya katakan lagu-lagu mereka memberi kesan yang mendalam bagi sesiapa sahaja yang menghayati lirik lagu mereka dengan betul,” katanya.

Turut serta dalam majlis tersebut ialah pemain bass XPDC Azuar Md Tasi atau lebih dikenali sebagai Zua yang berkongsi kenangan manis dan perkara baik yang dilakukan allahyarham ketika hayatnya.

“Kami (XPDC) pernah mengikuti satu program pengislaman 40 orang asli di Pahang dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) dan allahyarham ada sekali untuk membantu membawa Orang Asli ke program tersebut.

“Saya bersama dengan Mael sejak bujang lagi dan tahu perangai ragamnya dan Mael juga suka bersedekah dan belanja kawan-kawan makan,” katanya.

Seorang wakil keluarga vokalis XPDC Syed Ali Syed Ibrahim memanjatkan rasa syukur dan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur iaitu Abim kerana sudi untuk mengadakan majlis tahlil untuk abangnya.

“Saya sebagai wakil keluarga arwah mengucapkan ribuan terima kasih untuk majlis pada malam ini dan mengharapkan Allah memberikan keampunan dan limpah rahmat-Nya ke atas roh arwah Syed Ismail.

“Insya-Allah dengan doa-doa yang kalian pohonkan, semoga beliau mendapat keselamatan di alam sana dan tergolong dalam golongan orang-orang soleh,” katanya yang merupakan adik bongsu Mael.

Majlis tahlil itu diketuai oleh Yang Dipertua Abim Johor Farhan Ashari dan hadir sama kartunis Sukun serta peminat secara dalam talian.

Mael XPDC menghembuskan nafas terakhir dalam perjalanan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, Johor pada 27 April lalu akibat sesak nafas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS