Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tiket Coldplay dijual antara RM228 ke RM3,088 sekeping
Diterbitkan: Β May 11, 2023 5:47 PM
β‹…
Dikemaskini: 9:50 AM

Harga tiket bagi konsert kumpulan rock British Coldplay di Malaysia akan dijual antara harga RM228 ke RM3,088.

Harga itu diumumkan hari ini dalam laman web Go Live-Asia sebagai penjual rasmi tiket untuk persembahan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Untuk pakej VIP, selain RM3,088, terdapat juga harga lain iaitu RM2108 dan RM1258. 

Pemegang tiket ini akan diberikan pengalaman lawatan ke belakang pentas, melalui pintu masuk khusus, diberikan barang eksklusif serta hadiah yang direka khas.

Tiket prajualan akan mula dijual pada Selasa 16 Mei bagi pemegang kad CIMB secara eksklusif dari 10 pagi hingga 11.59 malam kerana CIMB merupakan rakan kerjasama untuk menjayakan konsert tersebut.

Jualan tiket selebihnya akan dibuka pada 17 Mei.

Menurut laman web Go Live-Asia, setiap transaksi hanya dihadkan kepada empat tiket dan tidak boleh dijual semula atau ditawarkan untuk dijual semula.

Harga tiket dijangka mendapat permintaan tinggi susulan ia merupakan konsert pertama Coldplay di negara ini. 

Selain itu, peminat daripada negara jiran seperti Thailand, Filipina dan Singapura juga mungkin akan terbang ke sini kerana tiada persembahan dijadualkan di negara mereka.

Konsert itu akan diadakan pada 22 November di Kuala Lumpur bersempena Jelajah Dunia Coldplay yang turut membuat persembahan di Jepun, Taiwan, Indonesia dan Australia. 

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberikan sokongan penuh terhadap persembahan itu dengan memberikan ucapan khas di media sosialnya.

Bagaimanapun, seperti beberapa konsert lain sebelum ini, terhadap tentangan daripada pemimpin PAS atas alasan menolak budaya hedonisme.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS