Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ponniyin Selvan 2 filem Tamil pertama gegarkan pasaran tempatan dalam versi 4DX
Diterbitkan:  May 11, 2023 1:58 PM
Dikemaskini: 5:58 AM

Filem Tamil yang pernah mencatat box office, Ponniyin Selvan kembali menggegarkan industri sinema Kollywood tampil dengan sekuel kedua buat julung kalinya dalam versi 4DX.

Pengarah MSK Cinemas Sdn Bhd, Saradha Sivalingam - yang mengedar filem itu - berkata pihaknya berbangga dapat membawa filem paling berprestij itu kembali ke Malaysia.

Katanya lebih mengujakan kerana Ponniyin Selvan 2 yang ditayangkan sejak 28 April lalu itu menjadi filem Tamil pertama dari India yang ditayangkan menggunakan teknologi tersebut.

“Tayangan filem ini memberikan momen yang membanggakan buat kami dan terima kasih pada Lyca Productions atas pencapaian ini. 

“Selepas kejayaan filem pertama, Ponniyin Selvan 1 pada tahun lalu, akhirnya sekuel kali ini kembali menemui penonton di pawagam. 

“Kami menjangkakan filem ini mampu mengulangi kejayaan blockbuster dalam sejarah sinema filem India di Malaysia,” katanya.

Teknologi 4DX menyediakan lebih 20 tindak balas maya seperti haba, asap, angin, getaran dan pergerakan kepada penonton. 

Pengalaman luar biasa itu diyakini bukan saja boleh membuatkan penonton akan terhibur menonton malah menikmati aksi dan perasaan sebenar seperti berada dalam filem. 

Ponniyin Selvan 2 menampilkan gandingan pelakon asal iaitu Aishwarya Rai, Jayam Ravi, Karthi, Trisha dan Vikram di bawah arahan Mani Ratnam. 

Naskhah itu adalah adaptasi novel epik 2,000 muka surat berusia 70 tahun, sentuhan penulis prolifik, Kalki Krishnamurthy yang diterbitkan pada 1955.

Filem itu berkisahkan pengembaraan penuh aksi yang ditulis Ratnam bersama Elango Kumaravel dan B Jeyamohan. Ia diterbitkan Ratnam dan Subaskaran Allirajah melalui Madras Talkies dan Lyca Productions.

Plot sekuel kali ini menceritakan kisah pada abad 978 masihi apabila Nandini yang bermusuh dengan Putera Chola Arunmozhi Varman dan Maharaja Sundara Chozhar membalas dendam atas kematian Raja Veerapandian. 

Dia memasuki Cholas lalu berkahwin dengan bendahari Chola iaitu Periya Pazhuvettarayar dan mencipta Machiavellian. 

Putera Chola berusaha untuk memenangi pertempuran dengan Pandyas dan tentera Rashtrakuta serta menghalang pengkhianatan Pazhuvettarayar.

Sivalingam berkata, pihaknya yakin Ponniyin Selvan 2 bakal memperoleh sambutan memberangsangkan.

Ponniyin Selvan 2 pastinya mengujakan ramai peminat di seluruh dunia untuk menonton filem ini.

“Begitu juga dalam industri perfileman tanah air, filem Tamil mempunyai pasaran cukup besar di negara ini dan mencatat sambutan memberangsangkan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS