Ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat Nasrudin Hassan mahu kerajaan membatalkan konsert kumpulan rock terkenal British Coldplay yang dijadualkan di Kuala Lumpur, pada 22 November depan.
Melabelkan persembahan itu, sebagai tidak membawa sebarang kebaikan untuk negara, agama dan rakyat negara ini, Nasrudin mempersoalkan jika tindakan kerajaan itu bertujuan mahu menyuburkan budaya hedonisme dan songsang di negara ini
“Batalkan persembahan kumpulan ini. Tiada manfaatnya untuk negara dan rakyat,” ciapnya di Twitter, yang membalas ciapan daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam.
Anwar semalam mengucapkan “selamat datang” kepada Coldplay, yang memilih Stadium Nasional Bukit Jalil antara lokasi persembahan mereka tahun ini selain Taiwan, Jepun, Jakarta dan Australia.
Selain menyuarakan bantahannya di Twitter, Nasrudin turut berbuat demikian di akaun media sosial yang lain.
“Apakah kerajaan bermaksud mahu menyuburkan budaya hedonisme dan songsang dalam negara ini?
“Saya nasihatkan agar batalkan sahaja persembahan kumpulan ini di Malaysia. Tidak membawa apa apa kebaikan pada agama, bangsa dan negara,” ulangnya di Instagram dengan memuatnaik gambar vokalis utama Coldplay Chris Martin memegang bendera simbol LGBT sewaktu mengadakan konsert mereka.
Hantaran yang sama turut dikongsi dalam akaun Facebook.
Gesaan pembatalan konsert artis luar negara di Malaysia bukanlah kali pertama ditentang oleh PAS. Malah parti itu secara konsisten membantah sebarang konsert sedemikian sejak sekian lama.
Antaranya konsert penyanyi Billie Eilish yang diadakan pada Ogos lalu, konsert kumpulan Michael Learns To Rock (MLTR) pada 2009 sewaktu pimpinan perdana menteri Najib Razak dan konsert MTV World Stage Live pada 2011.
Tiket untuk persembahan di Kuala Lumpur akan mula dijual mulai 17 Mei ini.
Konsert itu diumumkan sejak Oktober 2021 sebagai dukungan kepada album kesembilan mereka Music of the Spheres yang mengandungi single My Universe hasil kerjasama dengan kumpulan K-Pop BTS.
Ia sekali gus mengembalikan persembahan langsung yang tidak dapat diadakan sebelum ini kerana wabak Covid-19.