Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Siti Nurhaliza segan Menjaga Cintamu dipuji PM berkali-kali

Walaupun bergelar sebagai penyanyi tersohor negara, Siti Nurhaliza tetap berasa "segan" apabila nyanyiannya untuk lagu runut bunyi filem Anwar: The Untold Story dipuji berkali-kali oleh perdana menteri malam tadi.

Kata Siti Nurhaliza, pujian yang dilayangkan Anwar menandakan usaha dia bersama pencipta lagu Menjaga Cintamu, Andi Rianto dan lirik oleh Sekar Ayu Asmara itu mendatangkan hasil positif.

“Saya segan apabila perdana menteri puji, tapi syukur alhamdulilah kerana dia puas hati dengan kerja dihasilkan saya dan pencipta lagu," katanya.

Tambah Siti Nurhaliza ketika merakamkan Menjaga Cintamu itu dia sebenarnya kurang sihat dan suaranya menjadi lebih serak.

"Tapi saya tetap cuba berikan yang terbaik,” katanya kepada pemberita di pekarangan sebuah kompleks beli-belah di ibu kota malam tadi.

Siti Nurhaliza ditemui selepas menyaksikan tayangan filem Anwar: The Untold Story yang turut disaksikan oleh Anwar dan isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Terdahulu Anwar menganggap senandung nyanyian Siti Nurhaliza itu sangat mengesankan dan menyentuh perasaan pendengar walaupun karya tersebut baru didengar sebahagiannya saja.

Untuk rekod, Siti Nurhaliza berdepan cabaran untuk merakam lagu runut bunyi berkenaan kerana suaranya masih dalam proses pemulihan akibat kesan jangka panjang Covid-19.

Proses rakaman dibuat di studio Cranky Music milik komposer Aubrey Suwito.

Menurut Siti Nurhaliza, dia sudah lama memasang harapan ingin bekerjasama dan menyanyikan lagu ciptaan Andi Rianto yang diakui salah seorang komposer disegani di Indonesia.

Inspirasi dari Anwar, isteri

Malah kata penyanyi Aku Cinta Padamu itu, dia bersetuju menyampaikan lagu runut bunyi filem berkenaan selepas dimaklumkan mesej yang diketengahkan adalah berkaitan perjuangan seorang isteri yang setia seperti Wan Azizah.

“Saya sudah lama menyimpan hasrat untuk bekerjasama dan menyanyikan lagu ciptaan Andi dan tak sangka diberikan peluang itu. Saya melihat ini salah satu peluang untuk kami bekerjasama.

“Lagu itu menceritakan kesabaran, kasih sayang dan perjuangan seorang isteri. Itu buatkan hati saya tersentuh dan ingin sampaikan lagu ini.

“Memang banyak filem berkaitan seorang tokoh, tapi apabila seorang penyanyi diberikan tanggung jawab untuk sampaikan lagu yang berkaitan pemimpin, saya fikir ia adalah satu perkara baik dan peluang tak harus dilepaskan,” katanya.

Sementara itu, Andi Rianto berkata, sumber inspirasinya untuk menghasilkan lagu Menjaga Cintamu itu datang dari kisah perjuangan Anwar dan hubungan penuh berliku ahli politik terbabit bersama Wan Azizah.

Katanya dia menganggap keberhasilan mencipta lagu berkenaan adalah salah satu impiannya.

“Saya dapat inspirasi daripada kisah benar dan kisah cinta mereka suami isteri, bagaimana Wan Azizah menyokong perjuangan suaminya, dan ia menyenangkan saya untuk mencipta lagu itu.

“Pertama kali berkolaborasi dengan Siti Nurhaliza, dan saya akui ia satu daripada bucket list saya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS