Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Anwar: The Untold Story filem yang mengingatkan kesakitan, kata PM

Anwar Ibrahim mengakui sukar untuk dia memberikan banyak ulasan selepas menonton filem mengenai dirinya kerana ada banyak babak yang dipaparkan di situ adalah detik-detik yang "mahu dilupakan.”

Kata perdana menteri, ada antara adegan dalam filem Anwar: The Untold Story adalah detik pahit dan enggan dikenang lebih lama kerana ia dirasakan benar-benar melukakan jiwanya dan keluarga.

“Saya sukar nak ulas filem itu disebabkan ada episod dalam kehidupan yang saya mahu lupakan kerana ia amat menyakitkan.

“Berat beban itu juga banyak yang ditanggung oleh Azizah dan anak-anak,” katanya ketika ditemui seusai menonton naskhah berkenaan di sebuah kompleks beli belah di Kuala Lumpur malam tadi.

Turut hadir ialah isterinya yang juga bekas timbalan perdana menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Walaupun 'sukar' menyaksikan apa yang diceritakan dalam filem tersebut, Anwar tetap memuji karya sentuhan pengarah Viva Westi itu sebagai luar biasa.

Kisah yang perlu diceritakan

Antaranya kerana sutradara terbaik Festival Filem Indonesia 2008 itu dapat meringkaskan kisah selama 23 tahun perjalanan hidupnya kepada sebuah naskhah berdurasi kira-kira 90 minit.

“Sebagai orang yang diceritakan dalam filem itu, tentu saya dan Azizah tersentuh.

"Sepanjang tempoh di penjara, hanya sekali saya menangis iaitu apabila ibu saya meninggal dunia, kerana itu saya memang tak boleh kawal, yang lain-lain itu 'senyum dalam tangisan.'

"Juga, walaupun dialog waktu kejadian banyak, tak 100 peratus dapat disimpan dalam ingatan isu yang dibangkitkan oleh pengarah adalah benar dan ini rahsia umum yang harus diceritakan.

“Perbualan itu panjang, tapi dirumuskan dengan tepat, konteks itu betul.

“Saya akui ia berdasarkan peristiwa berlaku puluhan tahun lalu, tapi disingkatkan untuk tayangan di panggung selama dua jam, ia bukan mudah.

"Sinematografinya juga sangat baik, ini yang saya dapat kesan di situ,” katanya.

Terdahulu, Anwar bersama Wan Azizah hadir menyaksikan tayangan perdana Anwar: The Untold Story yang menceritakan sebahagian perjalanan hidup ahli parlimen Tambun itu sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan sebelum disingkirkan dari kerajaan serta parti pada 1998.

Ia juga memaparkan langkah yang diambil bekas ahli parlimen Permatang Pauh dan Port Dickson itu dalam menangani isu rasuah dalam negara.

Filem terbitan Bianglala Entertainment yang menelan belanja RM10 juta itu akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 18 Mei ini.

Majlis tayangan perdana malam tadi adalah anjuran DMY Creation dan Yusrych Global Sdn Bhd yang juga pengedar rasmi filem tersebut. Ia turut dihadiri beberapa tetamu kehormat, tokoh politik, penggiat industri kreatif serta personaliti terkenal tempatan seperti Siti Nurhaliza.

Siti Nurhaliza juga merupakan penyanyi lagu runut bunyi filem berkenaan yang berjudul Menjaga Cintamu hasil ciptaan Andi Rianto dan lirik nukilan Sekar Ayu Asmara.

Filem itu dibintangi pelakon seperti Farid Kamil yang memegang watak utama sebagai Anwar, selain Hasnul Rahmat sebagai Dr Mahathir Mohamad). Turut menjayakan Anwar: The Untold Story ialah Acha Septriasa (Wan Azizah), Saskia Chadwick (Nurul Izzah), Dewi Irawan (ibu Anwar) dan Piet Pagau (bapa Anwar).

Anwar turut mengulas mengenai keterbukaannya memberi ruang kepada Viva untuk menceritakan kisah tersebut dengan bebas agar ia menjadi lebih menarik.

Ia termasuk membabitkan dialog yang boleh dianggap menyinggung perasaan.

“Saya beri hak kepada penerbit untuk bebas dan jadi lebih kreatif disebabkan ini adalah hasil seni, kita harus beri peluang walaupun ada dialog yang menyinggung perasaan termasuk ia memaparkan kritikan.

“Saya tak bercadang untuk sunting karya ini kerana saya percaya kita harus berikan ruang untuk perbahasan.

“Saya juga maklumkan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional bahawa prinsip seni itu harus lebih bebas agar tercungkil kreativiti.

"Kalau ia benar - teruskan, kerana kalau tidak, kita tak dapat angkat martabat seni apabila ia terlalu terkongkong dan terikat dengan tapisan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS