Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Majikan terlalu jumud hingga rakan industri terpaksa buat-buat sihat?'
Diterbitkan:  May 5, 2023 4:57 PM
Dikemaskini: 8:57 AM

Penyanyi dan cef selebriti, Fazley Yaakob menggesa majikan dalam industri hiburan untuk bersikap lebih terbuka dalam menawarkan peluang pekerjaan walaupun kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan.

Katanya, mencari sesuap nasi tidak seharusnya membebankan terutama apabila ia menjadi mata pencarian seseorang.

“Terpaksa rahsiakan penyakit kerana takut hilang job (kerja). Allahuakbar terlalu pedih ayat ini untuk ditelan.

“Adakah ‘pemberi rezeki’ kini menjadi terlalu jumud hingga ramai rakan-rakan industri terpaksa buat-buat sihat untuk mendapatkan rezeki yang halal?

“Tapi ini harus diubah. Perkara ini harus dihentikan,” katanya di media sosial hari ini.

Semalam, anak pelakon Allahyarham Ridzuan Hashim, Muhammad Dhanial mendedahkan bapanya terpaksa merahsiakan masalah sakit jantung yang dideritai sejak tiga tahun lalu.

Dakwa Dhanial, tindakan itu terpaksa dilakukan kerana bapanya khuathir tidak menerima sebarang tawaran berlakon jika masalah kesihatannya diketahui umum.

Bekas isteri Ridzuan, Didie Ilias pula berkata, hanya keluarga dan kenalan terdekat saja mengetahui arwah menghidapi sakit jantung sejak tiga tahun lalu.

Fazley yang juga penyanyi lagu Asmara Ini itu pada masa sama mempersoalkan sekiranya amalan merahsiakan penyakit berlaku dalam kalangan penggiat seni kerana mereka terlebih dulu telah diberikan “amaran.”

“Atau mungkin ada dalam kalangan mereka yang menawarkan pekerjaan secara rahsia memberi amaran; kalau dia ada penyakit jangan diberi pekerjaan, nanti menyusahkan semua orang.’

“Kamu tak rasakah ia sangat memedihkan dan menyedihkan?” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS