Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Rahang terkehel, Farali Khan enggan tuding jari

Pelakon Farali Khan mengambil pendirian enggan menyalahkan mana-mana pihak susulan rahangnya tercedera dan terkehel sewaktu menjayakan babak aksi di set penggambaran filem Tujuh Dua Belas.

Bagi Farali, apa yang dialaminya tidaklah terlalu serius kerana dia pernah mengalami insiden yang lebih buruk sebelum itu.

“Saya tak mahu salahkan sesiapa sebab ini adalah perkara normal ketika melakonkan babak aksi.

“Lagipun, benda memang dah ditakdirkan terjadi. Sebelum ini, saya pernah alami patah buku lali sewaktu berlakon dalam filem Wira, jadi saya tak mahu fikir yang berlebihan kerana ia tak ada kesan buruk lain pada diri sendiri pun,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, pemilik nama sebenar Norfara Ali Dad Khan itu berkata kecederaan itu disebabkan perubahan koreografi bersama seorang pelakon yang dilakukan produksi pada saat akhir.

Bagaimanapun, pelakon Kalla: Hidup atau Mati itu enggan mendedahkan identiti pelakon terbabit kerana ingin mengelak rasa kurang selesa untuk mereka menghabiskan penggambaran.

"Ketika itu kami memang tak ada pilihan kerana waktu memang terhad. Saya juga tak mahu orang yang tak sengaja cederakan saya rasa serba salah,” katanya pada majlis pratonton Tujuh Dua Belas di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Filem arahan Thrope Ali itu sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Selain Farali, Tujuh Dua Belas turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Johan As’ari, Chintya Candranaya dan Adam Darwisyh.

Ia berkisahkan Safia lakonan Farali, seorang atlet seni mempertahankan diri yang terpaksa bertarung nyawa untuk menyelamatkan anak saudaranya yang diculik oleh kumpulan penyeludup organ manusia.

Sementara itu, mengulas kehidupan berumah tangga selepas pendedahan mengenai perkahwinannya dibuat di media sosial baru-baru ini, Farali, 34, berkata dia seboleh-bolehnya enggan terlalu berkongsi soal peribadi.

Dia yang hamil tujuh bulan berkata pendedahan itu dibuat bagi mengelak fitnah.

Katanya, dia lebih selesa peminat mengetahui kisah kejayaannya sebagai penggiat seni.

“Sebenarnya saya tak suka kongsi cerita peribadi di media sosial. Saya lebih suka orang ikuti perkembangan kerjaya saya,” katanya.

Farali bernikah dengan atlet dan model, Muhammad Assyaqireen pada 1 September tahun lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS