Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Buka syarikat produksi, Nora Danish janji utamakan kebajikan kru

Menjaga kebajikan kru adalah azam utama buat Nora Danish agar syarikat produksi miliknya yang baru ditubuhkan Dis tahun lalu, ND Production, tidak berdepan sebarang isu bayaran tertunggak.

Kata pelakon itu, selepas membuka ND Production - yang menjadi sebahagian daripada impiannya selama ini - dia memberi perhatian lebih daripada 100 peratus untuk mengendalikan operasi syarikat itu sebaik mungkin.

“Saya kena beri 110 peratus perhatian, tak boleh main-main. Dari sudut penambahbaikan untuk industri, apa saya boleh buat ialah pastikan semua bajet mencukupi untuk syarikat saya.

“Jika kru dibayar dengan baik, mereka pun bekerja dengan gembira, justeru, saya tak nak ada masalah gaji tak berbayar nanti. Saya akan pentingkan kebajikan mereka terlebih dulu,” katanya.

Nora, 41, memberitahu idea membuka produksi itu muncul selepas dia sering kali terpaksa menolak tawaran produser atas alasan perlu memberi keutamaan pada keluarga dan mementingkan skrip berkualiti.

Menurut pelakon Bukan Cinta Malaikat itu, dia enggan dilabel sebagai pelakon yang terlalu memilih hanya disebabkan hal berkenaan.

“Selepas melahirkan anak kedua pada 2018, saya perlahankan rentak kerjaya. Banyak tawaran saya terpaksa tolak sebab mahu fokus pada keluarga.

"Saya juga perlu 'memilih' lebih-lebih lagi dengan kesibukan mempromosi kempen sebuah jenama.

“Dah lebih 20 tahun saya berlakon, hakikatnya, susah untuk saya tinggalkan perkara yang saya suka. Dengan buka produksi sendiri, saya masih boleh kekal relevan dan aktif,” katanya.

Dia ditemui pada majlis pratonton filem terbaru lakonannya, Sumpahan Malam Raya, di sebuah kompleks beli-belah di ibu kota baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Nora berkata, ketika ini dia masih mempelajari selok-belok menguruskan syarikat produksi dan berhasrat untuk menghasilkan filem pertama tahun ini.

Walaupun mempunyai banyak idea untuk digarap menjadi naskhah, menurutnya, dia tidak boleh terburu-buru kerana ingin menimba ilmu terlebih dulu.

“Syarikat dah ada sejak lima bulan lalu tapi belum bermula operasi lagi. Saya masih belajar. Banyak perkara dah saya rancang dan susun sama ada bakal menerbit filem mahupun drama, tapi fokus utama adalah terbitkan filem cinta dulu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS