Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kempen derma RM1 demi filem sayangi kucing jalanan

Atas keprihatinan untuk menghindari kes-kes penganiayaan ke atas kucing jalanan, suatu kempen kesedaran yang menyasarkan kutipan dana berjumlah RM2.5 juta digerakkan mula Mei ini.

Penerbit Art Ornament Sdn Bhd (Art Ornament), Aida Othman, berkata sebahagian daripada dana kutipan itu akan digunakan untuk menghasilkan filem aksi yang mengetengahkan kucing sebagai subjek utama.

“Kempen pertama kami ialah mengumpulkan dana untuk menerbitkan sebuah filem berkualiti dan diharap dapat diterima oleh semua.

“Ada banyak rancangan yang kami susun sepanjang kempen ini berlangsung, antaranya untuk meningkatkan kesedaran termasuk mengenai penjagaan kucing dan mendidik orang ramai untuk menyayangi haiwan.

“Kita cuba untuk hindarkan berlakunya lagi kes-kes penganiayaan terhadap haiwan,” katanya.

Menurut Aida, 47, sebahagian lagi hasil kutipan itu akan disalurkan untuk tabung membantu haiwan terbiar termasuk anjing dan pusat-pusat perlindungan haiwan.

Katanya kempen itu dilangsungkan Art Ornament bersama Anugerah Mahligai Arah Nasib Abadi (Amanah) dan Persatuan Suara Haiwan Malaysia serta Bigshot Entertainment dan Adverthype.

“Gabungan ini adalah usaha untuk memfokus pada nasib kucing dan anjing jalanan di samping membantu golongan kurang bernasib baik yang menjaga haiwan di rumah atau pusat perlindungan.

“Kami akan jadi bersikap telus dengan semua dan setiap sen dana yang masuk boleh dilihat melalui kemas kini secara automatik pada laman web yang akan dikongsikan nanti,” katanya ketika ditemui di Studio Bigshot Entertainment di Shah Alam baru-baru ini.

Untuk rekod, Art Ornament berpengalaman selama 12 tahun dalam industri perfileman dan pernah menghasilkan 20 drama. Antara yang popular ialah Hati Yang Tersakiti dan Diari Seorang Suami.

Sementara itu, rakan kongsi Aida, Iqbal Mazlan, 33, berkata idea untuk menghasilkan filem berkenaan bermula selepas kes-kes penganiayaan ke atas kucing dipaparkan di dada media.

Justeru, menurut juara program Pilih Kasih pada 2009 itu, kempen berkenaan diyakini boleh meraih perhatian pencinta kucing yang diyakini tidak keberatan untuk menyumbang.

“Kami nak hasilkan karya yang menyentuh perasaan bagaimana rasanya jika melihat atau mengetahui ada kucing mati didera.

“Cara untuk menyertai kempen ini sangat mudah, derma hanya RM1 setiap seorang dan bantu kami untuk hasilkan filem sebegini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS