Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
PH cari rentak tawan Kelantan melalui video ‘Mari Kito Pakat Tukar’
Diterbitkan:  Apr 26, 2023 2:33 PM
Dikemaskini: 8:13 AM

Menjelang enam pilihan raya negeri (PRN) akan datang, Pakatan Harapan telah melancarkan kempen di media sosial dengan memuat naikkan sebuah klip video dan lagu yang menggesa pengundi Kelantan supaya menolak kerajaan negeri PAS yang sudah lama menerajui negeri itu.

Namun, lagu yang mendesak supaya perubahan untuk menjadikan Kelantan lebih maju, dikatakan sedang bergelut untuk menarik perhatian orang ramai kerana rentaknya didakwa sumbang.

Muzik video "Mari Kito Pakat Tukar" itu diterbitkan oleh Pengerusi PKR Kelantan Nik Nazmi Nik Ahmad dan mula dikongsikan di media sosial semalam.

Sebahagian besar, lirik lagu itu, adalah dalam loghat Kelantan dan diselitkan dengan beberapa baris rap Inggeris. Antara lain, ia menggabungkan unsur muzik gamelan tradisional, pop-beat, dan hip-hop.

Muzik video itu memaparkan cabaran yang terpaksa diharungi oleh rakyat di Kelantan dan berdepan dengan pelbagai masalah seperti kekurangan bekalan air bersih, dan kesukaran golongan muda-mudi untuk mendapatkan pekerjaan.

Sehubungan itu, ia mengajak para pengundi supaya memilih warna merah (PH) dan bukan lagi hijau (PAS) supaya Kelantan dapat diangkat ke tahap yang sama seperti egeri-negeri lain yang lebih maju.

Bagaimanapun, reaksi pengguna media sosial setakat ini, kebanyakan mereka adalah negatif.

Beberapa pengkritik melabelkan muzik video itu sekadar “syok sendiri”, dan tidak berhubung dengan pengundi Kelantan.

Daniel Teoh, seorang sarjana Chevening dalam komunikasi politik, berkata muzik video itu tidak akan memberi impak positif.

“Dengan pengundi bandar pun tak semestinya ada kesan positif, inikan pengundi luar bandar. 

“Ini dah nak sama dengan taktik Najib (Razak)  jemput (artis Korea) Psy datang ke Pulau Pinang dan harapkan kemenangan BN,” ciapnya di Twitter.

Dia merujuk kepada konsert BN yang dianjurkan di Pulau Pinang pada 2013 - Najib ketika itu cuba mendapatkan orang ramai untuk menyuarakan sokongan mereka kepada BN, tetapi sebaliknya ditolak.

Menurut beberapa warga maya yang lain, BN - pesaing utama PAS di negeri itu - telah mencuba taktik serupa 10 tahun lalu dengan lagu dikir barat bertajuk 'Bo La Wei' tetapi juga tidak berjaya.

Faizal Riduan berkata video itu sepatutnya memberi tumpuan atau fokus kepada kumpulan sasaran mereka.

“Pendekatan perlu membumi dan melokaliti bukan membawa budaya Kuala Lumpur ke Kelantan.

“KL pun dah jadi 'Kualo Lupo' dekat saing dio,” katanya.

Begitu juga, seorang pengguna di Twitter yang mengaku dirinya sebagai penyokong PH dari Kelantan yang menggunakan nama @aideeddd berkata video itu tidak mungkin mencetuskan sebarang gelombang.

“Saya cuma nak cakap video seperti ini, impak dia sangatlah minimal untuk pengaruh rakyat Kelantan yang mengundi PAS PN menukar arah. 

“Jentera PH kena mula  masuk kampung-kampung dan berterusan bagi penerangan tentang usaha kerajaan,” katanya,

Sementara itu, Rizwan Abdullah pula meminta Nik Nazmi mendedahkan objektif di sebalik muzik video itu, dan apakah pertimbangan yang dibuat untuk pilihan lirik dan genre muziknya.

Katanya, dia secara peribadi percaya lagu itu tidak akan mempunyai impak ke atas pengundi di Kelantan, khususnya golongan yang berusia.

"Mereka tidak memahami bahasa Inggeris yang berbunga, jadi mesej tidak akan sampai ke kumpulan tersebut.

"Mengapa kita tidak guna konsep patriotisme dan mesej yang mudah sahaja,” katanya lagi.

Enam pilihan raya negeri - membabitkan Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan - semuanya dijadualkan tahun ini.

Keenam-enam negeri dilaporkan telah mencapai persetujuan untuk membubarkan dewan undangan masing-masing pada akhir Jun, yang mana selepas itu, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.

PAS telah menguasai Kelantan sejak 1990.

Pada pilihan raya umum tahun lalu, PAS bersama Bersatu memenangi semua kerusi Parlimen di negeri itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS