Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Puteri Sarah enggan tarik saman - anak bukan untuk didiskaunkan

Puteri Sarah Liyana tekad memilih untuk tidak menggugurkan kes saman sivil terhadap madunya, Ira Kazar dan keluarganya yang berlangsung di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sejak Jun lalu.

Puteri Sarah, memberi bayangan dia pasrah sekiranya episod kemelut rumah tangga dengan suami, Syamsul Yusof itu semakin berpanjangan walaupun sepatutnya ia bertemu noktah hari ini

Katanya, saman itu disifatkan sebagai perjuangan dan ia adalah haknya sebagai seorang wanita.

“Sarah tak akan tarik kes terhadap keluarga Kazar. Syamsul letak syarat sekiranya ingin dilepaskan, saya perlu tarik saman itu.

“Jadi untuk apa Sarah perjuangkan hak selama ini,” katanya.

Menurut Puteri Sarah, 37, pada mulanya mereka telah mencapai kata persetujuan untuk berpisah secara baik.

Namun, tiba-tiba pada saat akhir, Syamsul meminta untuk menarik balik kes saman terhadap keluarga Ira Kazar.

Puteri Sarah mengulas perkara itu di pekarangan mahkamah selepas Syamsul membatalkan hasrat melafazkan cerai terhadapnya di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini.

Terdahulu, Syamsul, 38, enggan melafazkan cerai terhadap Puteri Sarah antaranya kerana isteri pertamanya itu enggan menarik balik kes saman terhadap Ira.

Mereka juga gagal mencapai kata sepakat berhubung jumlah nafkah anak-anak selain prosedur Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang didakwa tidak mengikut prosedur yang sebetulnya.

Puteri Sarah memaklumkan, pengarah filem Munafik itu tidak bersetuju dengan jumlah nafkah yang dituntut buat kedua-dua anak mereka, Syaikhul Islam, 6 dan Sumayyah, 5 tahun.

Katanya, Syamsul meminta pengurangan bayaran nafkah yang keterlaluan sedangkan jumlah itu adalah berpatutan malah suaminya itu disifatkan seorang lelaki yang berkemampuan.

“Dia minta diskaun untuk tuntutan nafkah anak yang terlalu banyak.

“Saya tak mahu beritahu berapa jumlah yang sebenar tapi saya yakin dia (Syamsul) mampu untuk bayar sebenarnya kerana kami minta tak banyak pun.

“Dia yang tawarkan nilai itu. Tapi dia pula yang minta diskaun. Anak-anak bukan untuk didiskaunkan,” katanya.

Sementara itu, peguam syarie Mohd Azmi Rais yang mewakili Syamsul memaklumkan Puteri Sarah telah meminda beberapa terma dalam draf persetujuan.

“Apabila draf persetujuan diserahkan, kami dapati terdapat perubahan antaranya plaintif (Puteri Sarah) masih ingin meneruskan tindakan saman terhadap Ira Kazar dan keluarganya.

“Sarah juga meminta jumlah mutaah yang tinggi yang tidak dapat dipersetujui oleh defendan (Syamsul),” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS