Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Filem pengarah Malaysia ditayangkan di Cannes 
Diterbitkan:  Apr 18, 2023 12:42 PM
Dikemaskini: 5:52 AM

Tiger Stripes arahan pengarah Malaysia Nell Eu dipilih untuk Semaine de la Critique Cannes 2023 ke-62.

Produksi Ghost Grrrl Pictures itu akan ditayangkan dalam festival itu pada Mei.

Semaine de la Critique (Minggu Pengkiritk Antarabangsa) yang diasaskan pada tahun 1962 itu dianjurkan oleh French Syndicate of Cinema Critics.

Diarahkan oleh Eu, 37, dan diterbitkan di bawah syarikat produksinya Ghost Grrrl Pictures, Tiger Stripes akan ditayangkan pada festival itu pada bulan Mei ini.

Nell Eu

Semaine de la Critique (Minggu Pengkritik Antarabangsa) telah diasaskan pada tahun 1962 dan dianjurkan oleh Sindiket Pengkritik Pawagam Perancis.

Festival Filem Cannes merupakan festival berprestij yang tertua dan hanya mempamerkan filem cereka pertama dan kedua oleh pengarah dari seluruh dunia.

Tokoh-tokoh terdahulu yang telah mempamerkan karya mereka pada festival itu termasuklah pemenang Anugerah Akademi Bernardo Bertolucci, Guillermo del Toro dan Alejandro González Iñárritu.

Dalam catatan di laman Facebooknya, Eu menulis:

“Ya tuhan, akhirnya saya dapat mengumumkan berita yang luar biasa ini! Saya masih tidak percaya bahawa ia benar-benar berlaku.

"Apabila saya mendapat tahu tentang perkara ini, saya sangat terharu sehingga saya tidak dapat berhenti menjerit dan menangis. Ini adalah impian yang menjadi kenyataan dan saya sangat teruja sehingga saya mahu menangis sekali lagi.

“Untuk dijemput ke Semaine de la Critique adalah satu penghormatan dan adalah tempat yang sesuai untuk Tiger Stripes ditayangkan kepada dunia. Kita akan ke Cannes sayang!”

Dia juga mengucapkan terima kasih kepada produksi serta semua pelakon dan kru yang terlibat dalam penghasilan filem ini

Kaki Bakar (1995) arahan U-Wei Saari merupakan filem Malaysia pertama yang ditayangkan di Festival Filem Cannes dalam kategori Un Certain Regard. Kemudian diikuti dengan Karaoke karya Chris Chong Chan (2009) dan The Tiger Factory (2010) karya Woo Ming Jin yang ditayangkan dalam Directors’ Fortnight.

Filem pendek Indrani Kopal, The Game Changer telah ditayangkan di acara filem pendek Cannes pada 2014.

Filem tentang sayangi diri sendiri

Dalam temu bual ringkas dengan Malaysiakini, Eu, yang membesar di Kuala Lumpur dan UK, berkata Tiger Stripes adalah filem pertamanya. Dia mengarah dan menghasilkan filem pendek sebelum ini.

“Saya telah menjadi peminat pawagam sejak saya remaja dan saya telah mengikuti Festival Filem Cannes dari dulu. Sebagai pengarah, memang menjadi impian saya untuk mendapat jemputan filem ke festival berprestij.

Antara babak dalam Tiger Stripes

“Ramai pembuat filem telah mempamerkan karya mereka di sana malah tahun ini terdapat legenda pawagam yang membuat tayangan perdana filem mereka di Cannes yang saya harap dapat bertemu. Ianya merupakan satu penghormatan untuk filem saya ditayangkan di sana juga,” katanya.

Eu berkata filem itu membawa mesej yang mendalam tentang pemerkasaan. 

"Saya mahu membuat filem untuk semua kanak-kanak di luar sana yang merasakan mereka tidak layak untuk bergaul dengan masyarakat atau dipulaukan oleh rakan sebaya mereka kerana siapa diri mereka. Ia adalah filem tentang menyayangi diri sendiri dan mencari kekuatan di dalam diri serta mengetahui bahawa mereka tidak keseorangan,” tambahnya.

Dia akan terbang ke Perancis pada 15 Mei bersama pelakon filem itu.

"Saya tidak sabar untuk memperkenalkan barisan pelakon muda yang berbakat dalam filem ini.”

Eu juga berkata kejayaan pemenang Anugerah Akademi, Michelle Yeoh telah meletakkan Malaysia di mata dunia dan dia berbangga dengan pencapaian yang diraih oleh Yeoh.

“Kejayaan antarabangsa yang diraih oleh rakyat Malaysia akan sentiasa menaikkan nama negara kita dan membantu mengembangkan lagi industri kita,” jelas Eu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS