Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tak bolehlah nak halalkan RM30,000 begitu saja, kata Atu

Selepas bersuara lantang mengenai isu bayaran buat beberapa progam kendalian Awesome TV, kini Atu Zero memilih untuk meredakan sedikit keresahannya.

Pun begitu ia tidak bermakna isu tersebut dianggap sudah selesai.

Bahkan bagi Atu atau nama sebenarnya Sharif Kunal Dol Sharif, dia tidak akan menghalalkan begitu saja wang yang masih 'tersangkut' itu.

“(Digelar) anjing, sebagai manusia saya mengamuklah, tapi tak guna nak melenting, nanti (kedudukan) saya sama seperti dia.

“Saya boleh bersabar sekiranya bayaran saya itu diberi lambat, tapi sekarang ini kita bercakap soal hak.

“Tak bolehlah kalau nak halalkan RM30,000,” katanya.

Walaupun wangnya belum dilunaskan, Atu, 30, tetap bersyukur apabila keluh-kesahnya berhubung isu itu sekali gus membantu rakan artis lain menerima bayaran hasil titik peluh mereka dari syarikat terbabit.

“Beberapa pelakon otai dan baru hubungi serta ucap terima kasih sebab saya tularkan isu tersebut.

“Bila tengok segelintir rakan artis lain, kadang-kadang tak ada siapa nak perjuangkan hak mereka,” katanya.

Atu ditemui pada majlis pratonton filem terbaru lakonannya, Sumpahan Malam Raya, di sebuah kompleks beli-belah malam tadi.

Mungkin sebab buka mulut

Selain Atu, filem dijadual tayang di seluruh negara, Brunei dan Singapura pada 22 April itu turut dijayakan pelakon seperti Danial Zaini, Vanidah Imran, Reen Rahim, Nora Danish, Yusry Abdul Halim, Ropie dan Saiful Apek.

Kata Atu, timbul juga kehairanan kerana bayarannya saja yang didakwa masih belum dilunaskan.

Justeru, Atu tidak menolak kemungkinan sekiranya bayaran tersebut sengaja ditangguh-tangguh ekoran kelantangannya bersuara mengenai isu pembayaran sebelum ini.

“Saya dah cakap dengan stesen terbabit yang saya tak mahu terikat apa-apa lagi selepas ini. Bayar wang (yang sepatutnya diterima) dan saya akan diam.

“Saya bukan nak buka aib sesiapa tapi ini kebenaran dan kenyataan sebab semua rakan saya sudah dapat bayaran mereka.

“Tapi kenapa bayaran saya yang masih dibekukan? Saya tak tolak ia disebabkan saya bersuara.

“Saya tahu saya hanya ada kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia, dan kelayakan mereka lebih tinggi, cuma kenapa tak boleh berfikir seperti saya” katanya.

Sementara itu, jurucakap Awesome TV memberitahu Malaysiakini, mereka enggan lagi memanjangkan isu berkenaan.

Katanya Awesome TV juga tidak bercadang mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS