Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kereta, barang kemas cara Farid cuba lembutkan hati Diana
Diterbitkan:  Apr 11, 2023 1:53 PM
Dikemaskini: 5:54 AM

Pelakon Farid Kamil hari ini mengemukakan beberapa tawaran lumayan sebagai habuan buat Diana Danielle agar isterinya itu menarik semula permohonan cerai yang difailkan Mac lalu.

Perkara itu dinyatakan Farid melalui kenyataan yang dikongsikan kepada media hari ini.

“Saya Farid Kamil Zahari dengan setulus hati di bulan Ramadan, penuh barakah ini ingin menawarkan sebuah Toyota Vellfire bernilai RM225,000, barangan kemas (RM10,700), dan wang pendahuluan nafkah untuk Mac hingga Jun (RM40,000) kepada isteri saya sebagai usaha untuk menyelamatkan keluarga yang saya sayangi,” katanya.

Pelakon filem Anwar: The Untold Story itu hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi menjalani proses sulh yang bermula sekitar jam 11.40 pagi.

Bagaimanapun, Diana, 31, tidak hadir ke prosiding tersebut.

Farid juga menawarkan untuk mengganti semula kos perbelanjaan umrah yang ditanggung Diana sebelum ini berjumlah RM44,000 sebelum ini.

“Bayaran balik tiket umrah yang sepatutnya adalah hadiah telah bertukar menjadi hutang RM44,000.

“Justeru, saya berharap, dengan tawaran berjumlah keseluruhan sebanyak RM319,700 ini, mampu melembutkan hati isteri demi anak-anak kami,” katanya.

Pada 10 Mac lalu, pemilik nama penuh Diana Danielle Beeson itu memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari atas alasan mereka sudah tiada persefahaman, selain berlaku shiqaq (pergaduhan berpanjangan) antara mereka.

Namun, Farid, 41, enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

Susulan itu, hakim syarie Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses jawatankuasa pendamai (JKP) dan menetapkan 30 Mei ini sebagai tarikh bagi memaklumkan kepada mahkamah mengenai laporan berkaitan.

Farid dan Diana berkahwin pada 3 Nov 2012. Hasil perkongsian hidup pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS