Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini melepas dan membebaskan pendakwah selebriti, Da’i Syed atau Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful daripada tuduhan merogol seorang wanita, hampir empat tahun lalu.

Peguam yang mewakili Syed Shah Iqmal, Syed Amirul Syed Edros berkata, Hakim Rihaida Rafie memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Syed Shah Iqmal, 27, di akhir kes pendakwaan.

“Selepas membuat penilaian maksimum terhadap keterangan melalui saksi-saksi dan eksibit-eksibit, mahkamah memutuskan kes prima facie tidak berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan.

“Mahkamah mendapati keterangan-keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan untuk membuktikan elemen paksaan adalah tidak memadai,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Pada 10 Dis 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di dalam bilik di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di Shah Alam, sekitar jam 1.35 malam, pada 11 Sept 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Seramai 18 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan bermula April tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Nazneen Zulkifli.

Pada 31 Mei tahun lalu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada dua pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul ke atas seorang penuntut kolej swasta.

Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap wanita terbabit dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud untuk mencabul kehormatannya di rumah sewa tertuduh di Damansara Perdana, antara 3 hingga 4 pagi, 17 Okt 2020.

Sementara itu, Syed Shah Iqmal melalui media sosialnya menyatakan kelegaanya apabila mahkamah melepas dan membebaskan dia daripada pertuduhan merogol terbabit.

“Selepas tiga tahun saya berjuang membersihkan nama dan maruah keluarga saya, hari ini tepat 19 Ramadan, saya dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan Mahkaham Sesyen Shah Alam,” katanya.

Syed Shah Iqmal, 28, turut berkongsi momen paling tidak dilupakan dia menangis teresak-esak sewaktu pernah menjadi tahanan.

“Saya kongsikan moment titik terendah saya ketika dalam tahanan dan panggilan video bersama mama.

“Benarlah air hujan yang jernih turun dari awan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS