Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
A Aida syukur menang saman, Amelia Henderson diarah bayar lebih RM200,000
Diterbitkan:  Apr 7, 2023 2:33 PM
Dikemaskini: 6:33 AM

Air mata penerbit A Aida tumpah selepas mahkamah Sesyen Sivil, Kuala Lumpur hari ini mengarahkan pelakon, Amelia Henderson, membayar ganti rugi lebih RM200,000 selepas melanggar kontrak perjanjian syarikat penerbitan, A Aida Production Sdn Bhd.

A Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang berkata dia bersyukur dengan keputusan itu dan sejak awal lagi sudah dapat menjangkakan kes berkenaan akan berpihak kepadanya.

“Alhamdulillah, sempena bulan mulia Ramadan ini, Allah mempermudahkan dan memakbulkan doa supaya keputusan memihak kepada saya.

“Sebenarnya, dari awal lagi, saya sudah yakin boleh menang kes ini kerana ia berkait perlanggaran kontrak.

Amelia Henderson.

“Saya harap ini memberi pengajaran kepada artis lain terutama pelapis baharu dalam industri seni,” katanya seperti dipetik BH Online.

Hakim Zulqarnain Hassan sebelum itu memerintahkan Amelia memohon maaf dan memadam video mengandungi kenyataan fitnah terhadap A Aida Production seperti dimuat naik di Instagram (IG).

Peguam mewakili Amelia, Ashmadi Othman memperincikan jumlah lebih RM200,00 itu termasuk bayaran pendahuluan diterima sebelum penggambaran, ganti rugi am fitnah serta ganti rugi kos penggambaran drama Sekali Lagi Cinta Kembali sebanyak RM101,325.

Amelia, 27, dan dan seorang lagi pelakon, Idris Khan (gambar, bawah) berdepan tindakan saman daripada A Aida selepas melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani mereka.

Seramai tiga saksi daripada plaintif termasuk A Aida dan tiga saksi defendan termasuk Amelia memberi keterangan sepanjang perbicaraan bermula 1 November tahun lalu.

Bagaimanapun, saman antara A Aida, 53, dan Idris berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes itu di luar mahkamah manakala Amelia memilih perbicaraan.

Dalam perkembangan sama, Amelia, akan memfailkan rayuan kepada Mahkamah Tinggi terhadap keputusan tersebut selepas kemenangan berpihak kepada A Aida.

“Saya tak boleh hendak cakap banyak memandangkan saya akan buat rayuan. Saya rasa kes ini masih berterusan dan kita akan nantikan.

“Saya hormati keputusan mahkamah hari ini. Sejujurnya, saya masuk mahkamah hari ini tanpa sebarang harapan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS