Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tuntutan nusyuz: Puteri Sarah akan fail pembelaan

Isteri pertama Syamsul Yusof, Puteri Sarah Liyana, akan memfailkan pembelaannya di mahkamah syariah sebagai jawapan kepada tuntutan nusyuz yang dibuat pengarah filem berkenaan.

Perkara itu dimaklumkan peguam syarie, Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, selaku defendan dalam tuntutan tersebut.

“Pihak kami ambil maklum tuntutan (nusyuz) yang diterima pada 24 Mac lalu.

"Kami akan memasukkan pernyataan pembelaan terhadap tuntutan tersebut,” katanya di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, hari ini.

Akberdin Abdul Kader

Akberdin turut memaklumkan anak guamnya tidak dapat hadir pada prosiding hari ini kerana berada di Jakarta atas urusan kerja dan memohon kehadiran anak guamnya dikecualikan.

“Anak guam akan sampai di Malaysia pada pukul 11 pagi ini,” katanya.

Sementara itu peguam syarie Azmi Mohd Rais yang mewakili Syamsul selaku plaintif mengesahkan perkara berkenaan.

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, hakim syarie Maizatul Aliza Chee Din menetapkan 8 Mei ini bagi sebutan semula kes.

Pada tarikh sebutan semula kes itu, mahkamah turut mengecualikan kehadiran Syamsul dan Puteri Sarah dan hanya diwakili peguam syarie masing-masing.

Syamsul Yusof

Syamsul ketika memfailkan tuntutan nusyuz itu pada 21 Mei lalu berkata terdapat beberapa alasan tuntutan nusyuz dibuat ke atas Puteri Sarah antaranya kerana wanita itu didakwa masih berhubung dengan bekas kekasihnya yang kini berstatus suami orang.

Syamsul turut mengakui dia terkejut apabila Puteri Sarah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah apabila menuduh dia melakukan kekasaran terhadapnya.

Ketika itu, semasa disoal media antara tuntutan nusyuz yang dibuat, Azmi memberitahu terdapat empat jenis tuntutan yang dinyatakan Syamsul.

Untuk rekod hasil perkahwinan Syamsul dan Puteri Sarah, pasangan itu dikurniakan dua anak iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS