Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Aaron Aziz: Jangan masuk campur
Diterbitkan:  Apr 5, 2023 5:46 PM
Dikemaskini: 9:46 AM

Pelakon Aaron Aziz memberi amaran kepada sesiapa yang tidak berkenaan agar tidak mencampuri konflik antara dia dengan pengarah Syamsul Yusof.

Kenyataan itu dibuat susulan reaksi balas pelakon Sharnaaz Ahmad berhubung isu tersebut melalui ciapan di Twitter pada 24 Mac lalu.

“Cakap dengan dia (Sharnaaz), jangan masuk campur,” katanya.

Tegas Aaron, dia tidak mahu orang yang tidak berkenaan dalam kemelut itu memberi sebarang kenyataan berhubung konfliknya dengan Syamsul.

“Kepada yang tidak terlibat dengan produksi The Original Gangster (TOG), jangan bagi kenyataan.

“Jangan masuk campur. Kalau nak (masuk campur), jumpa saya dulu,” katanya dipetik Utusan Online hari ini.

Sharnaaz menerusi ciapannya sebagai respons kepada cadangan seorang peminat berkata dia akan bersikap profesional dan menghabiskan penggambaran TOG.

Pada sidang media khas 23 Mac lalu, Syamsul, 38, berkata dia merupakan orang terakhir yang mahu pelakon itu digugurkan dan keputusan tersebut dibuat secara kolektif bersama penerbit lain.

Katanya, antara faktor Aaron tidak lagi bersama TOG adalah disebabkan faktor usia, berat badan dan masalah kesihatan yang dialami pelakon berkenaan.

Ketika sesi itu, pengarah filem Munafik itu juga memetik nama Sharnaaz dan Beto Kusyairy.

Bagaimanapun, Aaron memuat naik video di Instagram dan memberikan penjelasan bersaksikan Al-Quran, mendakwa dirinya dianiaya pengarah terbabit apabila digugurkan pada saat akhir.

Katanya dia sudah membuat banyak persediaan termasuk aspek fizikal untuk membintangi naskhah itu.

Dua hari kemudian, Syamsul melalui hantaran di Instagram meminta agar isu itu tidak dipanjangkan lagi.

“Dalam isu Aaron digugurkan sebagai pelakon filem TOG, tidak perlu kita menyalahkan mana-mana pihak atau pelakon lain seperti Sharnaaz Ahmad dan Beto Kusyairy.

“Saya ambil semua kesalahan dan bertanggungjawab terhadap isu ini. Tidak perlu dipanjangkan lagi isu ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS