Selebriti dan usahawan sensasi Aliff Syukri meluahkan perasaan terkilan apabila video video teaser lagu raya terbarunya - yang memaparkan dia dan penari-penari memakai baju Melayu melekap di tubuh - mengundang kritikan ramai.
Aliff turut menyelar sikap rakyat negara ini kerana tidak pandai menilai tahap vokal dimilikinya yang unik malah disifatkan pula ala-ala seorang bintang pop legenda dunia.
“Apa salah saya awak hingga lagu raya saya semua orang kecam? Apa kurang saya? Tolonglah rakyat Malaysia buka mata dan dengar suara saya betul-betul dan buka telinga.
“Esok dah nak diterbitkan ni awak. Ramai rakyat Malaysia tak pandai menilai seni suara. Suara saya unik macam Michael Jackson.
“Mohon terima dan akur saya artis nombor 1 Malaysia. Suara saya sedap dan merdu, muktamad,” katanya.
Terdahulu, video klip itu mencetuskan rasa kurang senang umum kerana memaparkan Aliff dan penari-penarinya mengenakan baju Melayu yang dilihat terlalu sendat.
Penampilan Aliff dengan set baju lengkap berwarna biru begitu ketat terutamanya di bahagian kaki dan samping yang dipakai.
Pakaian berkenaan juga disifatkan mencemarkan imej dan merosakkan elemen tradisional baju Melayu.
Mereka yang tidak berpuas hati menyifatkan Aliff seorang yang sengaja mencipta kontroversi pada bulan Ramadan.
Ini bukan kali pertama Aliff menimbulkan kontroversi berkaitan lagu raya, dia dipanggil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) tahun lalu berikutan penayangan muzik video raya Kelepak Kelepuk Raya yang mengundang kecaman netizen.
Melalui hantaran sama, Wak Doyok turut mengingatkan Aliff supaya berpada-pada agar peristiwa bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sebelum ini tidak berulang.
Pada 30 Mac lalu, bapa kepada enam anak itu berkongsi video lagu raya berkenaan dengan harapan ia akan memberi sinar kebahagiaan pada setiap yang menonton.
“Beri laluan pada lagu raya nombor 1, sohor kini 4 tahun berturut-turut. Cak Cun Cak Raya.
"Semoga dengan lagu raya ini, memberi sinar kebahagiaan kepada anda semua untuk menyambut hari lebaran yang bakal tiba tak lama lagi - daripada artis nombor 1 Malaysia,” tulisnya di Instagram.
Bagaimanapun, menjengah ke ruang komen, seorang warga maya berkata, video itu mengundang rasa kurang senang bukan disebabkan kualiti suara Aliff sebaliknya kelakuan kurang sopan usahawan itu di bulan mulia.
“Bukan masalah suara... masalah terkinja-kinja, merosakkan adat dan budaya Melayu... faham?” katanya.