Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Mahkamah Singapura hari ini tidak membenarkan lelaki yang didakwa menyerang pelakon Kamal Adli diikat untuk dijamin.

“Berdasarkan laporan Institut Kesihatan Mental (IMH), saya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin,” kata hakim daerah Brenda Tan.

Dia juga bersetuju terhadap permohonan pendakwaan untuk tidak menawarkan ikat jamin dan menangguhkan kes itu selama empat minggu bagi membolehkan pegawai penyiasat melengkapkan siasatan.

“Kes ini ditangguhkan selama empat minggu kepada 2 Mei,” kata Tan.

Tertuduh sebelum ini direman tiga minggu di IMH untuk pemerhatian psikiatri.

Lelaki berusia 33 tahun terbabit didakwa di Mahkamah Negeri Singapura pada 14 Mac lalu atas pertuduhan “disyaki terlibat dalam kes menyebabkan kecederaan dengan senjata berbahaya”.

Mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalaha dia boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda, rotan atau mana-mana gabungan hukuman itu.

Terdahulu, tertuduh yang hadir di mahkamah membantah permohonan pendakwaraya untuk tidak membenarkan dia diikat jamin.

Tertuduh yang ditanya Tan berhubung bantahannya berkata, semakan IMH mendapati dia "berkelakuan dan bertingkah laku baik".

"Jadi saya tidak nampak kenapa saya tidak diberi tawaran jaminan," kata tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Tan menangguhkan kes itu selama kira-kira tiga minit bagi membolehkan mahkamah membaca dua perenggan, khususnya 18 dan 21 dalam laporan IMH, kepada tertuduh.

Tertuduh yang memakai baju-T hitam kemudiannya berkata "tidak semua dalam perenggan 18 dan 21 adalah benar... saya tidak setuju."

Kira-kira jam 9.19 malam pada 12 Mac lalu polis Singapura menerima maklumat mengenai kes tertuduh didakwa menyerang pelakon berusia 36 tahun itu dengan baton di 1 Expo Drive.

Polis merampas baton itu yang menjadi barang kes.

Kamal yang cedera terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital di republik berkenaan.

Kamal dan isterinya Uqasha Senrose berada di Singapura untuk acara Jualan Mega Hari Raya 2023 di Dewan 5A Ekspo Singapura selama tiga hari bermula 10 Mac. Insiden berlaku di penghujung acara itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS