Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Iskandar Spring terpaksa menumpang sebab bebanan kewangan

Bebanan kewangan menyebabkan pemain gitar kumpulan Spring, Iskandar - yang menderita pelbagai penyakit kronik termasuk lumpuh - dan isterinya membulatkan tekad untuk berpindah ke Miri, Sarawak.

Nur Hidayah Cecilia Abdullah atau lebih mesra disapa Cece berkata, dia sedikit lega kerana adiknya menyatakan kesanggupan untuk membenarkan dia sekeluarga menumpang tanpa mengharapkan apa-apa bayaran.

“Ketika ini kami terpaksa membayar sewa bulanan yang agak tinggi iaitu RM1,200 ditambah dengan keadaan ekonomi tak menentu, terpaksa pula cari perbelanjaan untuk tanggung kos perubatan suami, jadi sukar untuk teruskan kehidupan lagi di sini (Semenanjung Malaysia).

“Apabila adik saya izinkan kami menumpang di rumah dia, terasa ringan sedikit bebanan yang ditanggung sebelum ini.

“Kalau terus menyewa di rumah ini, kami memang terkesan sebab setiap bulan tuan rumah akan meminta bayaran mengikut tarikh yang ditentukan,” katanya kepada Malaysiakini.

Cece dan Iskandar mula berpindah ke Miri hari ini.

Bagaimanapun, enggan menambah beban adiknya sekeluarga, Cece berkata, dia akan mengikhtiarkan sesuatu untuk membayar setakat mana yang termampu.

“Tapi saya akan tetap hulur (bayar) juga untuk ringankan beban dia (adik) nanti,” katanya ketika ditemui pada sesi ziarah bersama Persatuan Karyawan Malaysia di Taman Rasah Jaya, Negeri Sembilan kelmarin.

Pada sesi ziarah itu, Presiden Karyawan, Freddie Fernandez menghulurkan wang kutipan amal berjumlah RM4,000 hasil kutipan daripada Jelajah Solidariti Untuk Iskandar Spring yang diadakan di beberapa negeri sejak Januari lalu.

Ramai sedia membantu

Iskandar atau nama penuhnya Tengku Radin Iskandar Tengku Musaidin sudah lebih setahun terlantar di rumah akibat strok.

Pada masa sama, dia perlu menjalani dialisis di rumah empat kali sehari akibat komplikasi buah pinggang. Situasi itu sekali gus menyebabkan Cece tidak dapat meneruskan perniagaan menjual produknya. Iskandar juga mengalami kesukaran bertutur.

Iskandar, 54, yang juga antara pengasas kumpulan Spring hilang daya upaya kerja dan akibatnya dia tiada sumber mata pencarian.

Ekoran masalah kesihatan itu Iskandar memerlukan biaya kos perubatan dan perbelanjaan yang agak tinggi iaitu sekitar RM40,000 setahun atau secara purata RM3,000 sebulan.

Cece berkata, perpindahan mereka ke Miri juga dianggap sebagai satu suntikan semangat untuk dia menjaga Iskandar kerana dia lebih dekat dengan adik-beradiknya.

Di situ, katanya, ramai dalam kalangan keluargnya yang berkesempatan untuk membantu dia menjaga Iskandar.

“Saya anggap ia sebagai sokongan moral buat saya. Kami tak mahu menyusahkan ibu Iskandar yang ketika ini sudah berusia 75 tahun.

“Di Miri, adik-beradik saya ramai yang boleh membantu ketika ketiadaan saya di rumah untuk menjaga Iskandar sekiranya saya perlu bekerja,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS