Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Pekik 'selongkar' pembentukan scene underground

Mengetengahkan perkembangan scene muzik bebas (independent), dokumentari Pekik cuba berkongsi gambaran subbudaya itu dengan lebih tepat agar sesuai diangkat menjadi sumber rujukan komuniti seni tempatan.

Menganggap karya itu sebagai tanda penghargaan, pengarah dan penerbit dari produksi Stereo Pixels, Faleeq Alias, berharap para pemuzik yang pernah terbabit pada awal sejarah pembentukan kegiatan underground pada 1980-an tidak dilupakan atau terlepas pandang dek generasi muda khususnya.

“Ini adalah sebagai tanda penghormatan kepada bakat mereka dan bagi meraikan kemeriahan dunia muzik ketika itu hingga kini.

“Setidak-tidaknya, untuk generasi baru yang mungkin tidak mengenali pelopor scene underground, ada sesuatu sudah diterbitkan untuk rujukan mereka,” katanya.

Faleeq turut bersyukur kerana naskhah itu akhirnya berjaya disiapkan selepas hampir 10 tahun terperam ekoran kekangan masa serta perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Idea untuk menghasilkan dokumentari ini bermula hampir 10 tahun lalu. Segala temu ramah dan rakaman persembahan pula dikumpul sejak 2014. Kami adakan gig untuk mengumpul bahan-bahan ini.

“Namun, penggambaran terhenti seketika dan ia diteruskan pada 2018 sewaktu PKP dikenakan.

“Penggambaran mengambil masa kira-kira dua bulan di lokasi kebanyakannya Kuala Lumpur dan beberapa tempat lagi seperti Ipoh, Perak dan Alor Setar, Kedah,” katanya.

Faleeq ditemui pada sesi tayangan khas Pekik di Pawagam Mini P Ramlee, Kompleks Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Hulu Klang, baru-baru ini.

Turut hadir Pengerusi Finas, Kamil Othman.

Karya itu dijadual menemui penonton di saluran Astro First bermula esok.

Ia diterbitkan dengan sokongan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital, MyCreative Ventures.

Dokumentari itu memaparkan temu ramah dengan Aru Peruzza dari Koffin Kanser/ Republic of Brickfields (ROB), Fathullah Luqman (Spiral Kinetic Circus/Infectious Maggots), Radhi (OAG), Loque dan Emmet (Butterfingers), Rom Mohd Nor (ROTTW), Izzat Uzaini (Hujan), Naratu, Couple, Tam (Blind Tribe) dan Sekumpulan Orang Gila (SOG).

Faleeq juga tidak menolak kemungkinan akan menyambung dokumentari itu dengan siri kedua sekiranya naskhah pertama mendapat sambutan ramai.

Dia memberi bayangan akan meneruskan siri kedua dokumentari itu dengan skop penceritaan yang meliputi sewaktu band indie meningkat naik.

“Kami akan sambung dengan siri kedua kalau ada rezeki dan peluang. Kami mahu paparkan bagaimana kisah-kisah band indie seperti Hujan dan Meet Uncle Hussain naik,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS