Akibat komplikasi pada kotak suara, penyanyi Ibnor Riza - yang disahkan menghidapi kanser limfoma tahap empat baru-baru ini - mengakui dia semakin tertekan kerana terpaksa membebankan anak sulungnya dengan tanggungjawab membayar pinjaman rumah yang baru dibelinya.
Penyanyi yang popular era 1980-an dan cukup terkenal melalui lagu Mimpi Yang Tak Sudah itu berkata, dia terus dibelenggu emosi apabila memikirkan sudah tidak terdaya lagi mencari nafkah untuk menanggung keluarga.
Ibnor, 61, yang kini hilang punca pendapatan sebagai penghibur berkata dia dijadualkan pihak hospital untuk menjalani beberapa rawatan kemoterapi hingga Jun depan.
“Sesi kedua daripada lapan prosedur adalah esok (hari ini).
"Sekiranya pemeriksaan mendapati sel kanser masih wujud selepas semua prosedur ini dilakukan, sebanyak lapan sesi kemoterapi akan ditambah lagi.
“Saya dah biasa bekerja sebelum ini, tapi sekarang tak boleh buat persembahan lagi kerana tak boleh menyanyi. Macam mana saya nak bagi anak dan isteri makan?” katanya kepada Malaysiakini.
Jelas suami kepada peserta Kilauan Emas Musim Ketiga, Sarimah Sulaiman atau Seri itu, mereka berpindah ke kediaman terkini yang terletak di Taman Intan Duyung, Port Dickson sejak 18 Feb lalu.
“Perancangan asal hanya nak menumpang nama anak untuk beli rumah baru dan bayaran bulanan pula saya yang tanggung.
"Sehari lepas berpindah, saya dimasukkan ke wad akibat pengsan.
“Dari nak menumpang nama, bayaran bulanan rumah ni anak pula kena bayar. Pemotongan bank untuk rumah ini setiap bulan berjumlah RM1,200 dibuat melalui namanya.
“Jadi, saya rasa amat tertekan sebab kasihan pada dia yang ada komitmen sendiri,” katanya ketika ditemui pada program ziarah di rumahnya bersama Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) semalam.
Pernah hilang suara
Pada sesi itu, Presiden Karyawan, Freddie Fernandez, menyerahkan wang berjumlah RM4,000 yang diperoleh melalui kutipan amal melalui program Dari Kawan Untuk Kawan - Jam Untuk Ibnor Riza dan Zaiton Sameon kepada penyanyi berkenaan.
Freddie terlebih dulu menziarahi pemain gitar kumpulan Spring, Iskandar, yang menghidapi pelbagai komplikasi penyakit di rumahnya di Rasah Jaya, Negeri Sembilan, untuk menyerahkan wang sumbangan pada hari sama.
Turut hadir, pemain gitar kumpulan Iklim, Umarul Mahdzar, bersama isterinya, Roziah Rani.
Lebih 25 penyanyi menyertai program Dari Kawan Untuk Kawan - Jam Untuk Ibnor Riza dan Zaiton Sameon pada 19 Mac lalu, melalui format busking yang dianjurkan Karyawan serta Jabatan Kebudayaan, Kesenian Pelancongan dan Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Selain kanser limfoma tahap empat, pemilik nama penuh Ibnor Riza Ibrahim itu juga menghidapi kelumpuhan kord suara (vocal cord paralysis), darah tinggi, kencing manis, migrain dan tahap kolesterol kritikal.
Penyanyi itu juga dilaporkan pernah kehilangan suara pada Jan lalu akibat bengkak pada bahagian leher.
Sementara itu, Freddie berkata, Karyawan bersyukur kerana berjaya mengumpul kutipan berjumlah RM5,200 untuk diserahkan kepada Ibnor buat meringankan beban penyanyi itu.
“Sebelum ini kami sudah serahkan wang RM1,200 kepadanya. Pada ziarah kali ini, kami menghulurkan lagi RM4,000,” katanya.
Dia juga berharap dapat memainkan peranan penting sekiranya wujud aktiviti-aktiviti amal yang dianjurkan bertujuan membantu lebih ramai artis kurang bernasib baik.
“Sudah 20 tahun Karyawan menghulurkan bantuan melalui program amal, justeru kami berharap sekiranya ada lagi usaha untuk membantu, berilah kami peranan dalam usaha itu supaya kami boleh menentukan hanya mereka yang betul-betul memerlukan layak disalurkan bantuan,” katanya.