Hakim syarie hari ini menasihatkan pelakon Farid Kamil dan isteri, Diana Danielle, untuk berusaha berdamai bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.
Peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Farid berkata, Hakim Syarie Shukran Yusof menasihatkan demikian pada sebutan semula kes cerai itu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam.
Menurut peguam syarie itu, hakim “menyatakan perkara yang boleh selesai secara baik, cubalah mengislahkan (usaha untuk memperbaiki keadaan).”
“Hari ini adalah sebutan kes bagi Farid memaklumkan kepada mahkamah wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang akan mewakilinya.
“Pendengaran di mahkamah hari ini mengenai lantikan wakil JKP di mana Farid melantik kakaknya.
“Farid ada cuba pujuk tapi Diana macam ‘keras’ sikit (gagal dipujuk).
“Proses JKP akan berlangsung di pejabat agama Shah Alam, dan tarikhnya akan ditentukan pasangan itu.
“Seterusnya, proses hakam (kalau JKP tidak mencapai persetujuan) dan mahkamah akan menentukannya,” katanya.
Berikutan itu, mahkamah menetapkan 30 Mei ini bagi semua pihak mengemukakan laporan JKP berhubung kemelut melanda rumah tangga mereka.
Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, melantik pengurus bagi mewakili dirinya manakala Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, pula melantik kakaknya.
Dalam proses perceraian, JKP terdiri daripada anggota keluarga yang rapat dengan pasangan terbabit akan memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.
Sekiranya JKP tidak dapat menemui jalan penyelesaian atau mendapati telah berlaku shiqaq, perbalahan berpanjangan) maka mahkamah syariah akan melantik hakam yang akan memberikan kata putus bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga pasangan terlibat.
Sementara itu, peguam syarie, Akberdin Abdul Kader berkata, dakwaan Farid yang mengaitkan anak guamnya dengan pihak ketiga hanya alasan dibuat oleh pelakon itu.
“Semua itu hanya alasan. Sebelum ini tak pernah berbangkit pun isu ini tapi lepas fail kes (cerai) baru semua ini keluar.
“Tapi biar mahmakah buat keputusan,” katanya.
Akberdin turut memaklumkan, anak guamnya telah memperoleh perintah hadanah (hak penjagaan anak-anak) secara interim (sementara) daripada Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada Jumaat lalu.
“Pihak kami memfailkan hadanah itu pada Khamis dan mahkamah membenarkan permohonan Diana pada Jumaat lalu. Namun tiada halangan untuk Farid berjumpa dengan anak-anaknya," kata peguam syarie itu.
Farid dalam prosiding terdahulu, berkata dia tidak dapat memasuki rumah yang diduduki bersama isterinya, sejak awal bulan ini.
Dia juga berkata tidak dapat bertemu dengan anak-anaknya.
Diana sebelum ini, mendakwa tiada persefahaman, berlaku shiqaq selain tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri antara alasannya untuk bercerai dengan suaminya.
Permohonan cerai itu difailkan Diana atau nama sebenarnya Diana pada 10 Mac lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Untuk rekod Farid dan Diana berkahwin pada 2012 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua orang cahaya mata bernama Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.