Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Pelakon Farid Kamil pulang dengan perasaan hampa selepas usahanya untuk memujuk isteri, dengan membawa sejambak bunga dan sebentuk cincin untuk Diana Danielle ditolak.

Ditemui usai proses pelantikan wakil dalam Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi menyelesaikan krisis rumah tangga mereka, Farid kesal usaha untuk memujuk Diana menemui jalan buntu.

Katanya, dia membeli bunga dan cincin itu sempena meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-11.

“Demi menyelamatkan rumah tangga, saya berusaha balik untuk mendapatkan semua cincin-cincin ini.

“Tapi bunga pun dibuang, apatah lagi cincin. Saya beli cincin ini pada tahun ini untuk meraikan tahun perkahwinan ke-11,” katanya.

Diana tidak mengambil cincin tersebut malah bunga yang dibawa Farid dibiarkan di atas kerusi di ruang menunggu.

Farid ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, pagi tadi.

Isterinya, Diana hadir lebih awal pada 8.55 pagi memakai baju hitam bersama pengawal peribadi.

Pada 10 Mac lalu, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

Menurut Farid, walaupun pemberiannya itu tidak gah, namun menyifatkan ia mencukupi.

“Tak adalah mahal sangat, tapi cukuplah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS