Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Syamsul fail tuntutan nusyuz terhadap Puteri Sarah
Diterbitkan:  Mar 21, 2023 6:41 PM
Dikemaskini: 11:00 AM

Pengarah terkenal, Syamsul Yusof hari ini memfailkan permohonan nusyuz terhadap isteri pertamanya Puteri Sarah Liyana di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.

Syamsul yang diwakili peguam syarie Azmi Mohd Rais memfailkan permohonan itu pada jam 3.10 petang.

Pemilik nama penuh Mohd Syamsul Mohd Yusof itu berkata, dia bertindak memfailkan permohonan nusyuz terhadap Puteri Sarah kerana aktres itu didakwanya masih menghubungi bekas kekasih yang juga berstatus suami orang.

“Saya dah lama memendam rasa sebagai suami. Dalam dunia ini tiada suami yang boleh terima isterinya curang dengan suami orang lain.

Puteri Sarah Liyana

“Kesilapan saya selama ini mungkin saya diam hingga kedua ibu bapa menghentam saya. Saya bukan nak membalas terhadap Puteri Sarah tapi orang perlu tahu hal sebenar,” katanya.

Antara alasan lain dikemukakan Syamsul atas tuntutan nusyuz itu adalah Puteri Sarah meninggalkan rumah kelamin sejak Oktober 2020, enggan mematuhi notis nusyuz dan memfitnahnya memukul serta tidak memberi nafkah.

Syamsul, 38, berkata, dia terkejut dengan dakwaan dia memukul isterinya pada 2020.

“Selama ini apa yang berlaku dalam rumah tangga, saya pilih untuk diam. Rasanya tak elok untuk saya kongsi kepada umum walaupun Puteri Sarah yang masih bergelar isteri saya membuat pelbagai kenyataan di media sosial.

“Saya lelaki yang tak mahu kongsi hal rumah tangga pada umum. Orang tak tahu apa yang berlaku dan hanya dengar sebelah pihak sahaja sehingga terus menghakimi.

“Saya berdiam diri kerana fikirkan Sarah masih ibu kepada anak-anak saya. Saya tidak mahu bercerita buruk mengenainya.Tapi lama kelamaan benda jadi makin buruk.

“Minggu lepas saya terkejut bila dia menuduh saya memukulnya selepas saya enggan menceraikannya. 

“Itu adalah fitnah. Mungkin dia marah dan benci saya tapi adakah sampai tahap menfitnah saya,” katanya dipetik Harian Metro.

Sementara itu, Azmi memberitahu pihaknya akan menghantar notis saman kepada Puteri Sarah dalam waktu terdekat berikutan tarikh sebutan kes akan berlangsung pada 6 April ini.

“Hari ini, Syamsul memfailkan kes tuntutan nusyuz terhadap Puteri Sarah dan kami berusaha mendapatkan kebenaran untuk menyerahkan saman memandangkan Puteri Sarah tinggal di Wilayah Persekutuan. Jadi kami akan serahkan saman ini kepada dia dalam masa terdekat ini.

“Tarikh seterusnya bagi kes ini adalah 6 April. Nusyuz adalah isteri tak taat dan derhaka, jadi Syamsul memfailkan tuntutan nusyuz ini kepada Puteri Sarah kerana beberapa alasan yang dinyatakan dalam tuntutan tadi,” katanya.

Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS