Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Pengasas syarikat produksi animasi tempatan, Les' Copaque Production mencipta rekod apabila diberi Anugerah Tokoh Filem Perpaduan melalui karya popularnya, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal.

Burhanuddin Md Radzi - yang turut bertindak selaku penerbit filem animasi itu - berkata, naskhah tersebut mengetengahkan kehidupan aman dan harmoni melalui perpaduan antara kaum.

“Kami berbangga diberi peluang menjadi Tokoh Filem Perpaduan pada malam ini. Sejak siri Upin & Ipin diterbitkan pada 2007, animasi itu tak lekang daripada membawa mesej perpaduan.

“Jika pada kebiasaannya kita melihat ada unsur pergaduhan dalam animasi, akan ada juga watak yang jahat dan baik. Tapi dalam Upin & Ipin tak ada unsur itu.

“Kalau ada konflik yang timbul pun, ia dipaparkan sangat sedikit. Karya Les’ Copaque yang ada banyak unsur perpaduan adalah Upin & Ipin,” katanya.

Burhanuddin ditemui selepas berakhirnya sambutan Hari Seniman Kebangsaan 2023 di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di Hulu Kelang malam tadi.

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Burhanuddin berkata, Les’ Copaque juga berbangga apabila siri animasi Upin & Ipin masih menerima sambutan baik di Indonesia hingga kini dan setiap tahun mereka menghasilkan sebanyak 42 siri animasi berkenaan untuk ditayangkan di negara itu.

“Bukan senang untuk rakyat Indonesia menerima karya dari Malaysia sama ada filem atau pun muzik kita. Tapi Upin & Ipin berjaya diterima dengan baik di sana.

“Sebaik siri animasi itu siap, pihak kami terus hantar ke Indonesia dulu.

"Kos pembuatan Upin & Ipin mungkin terlalu mahal hingga mengakibatkan harga jualan terlalu tinggi untuk diterima saluran televisyen tempatan,” katanya.

Bagaimanapun, kata Burhanuddin, pihaknya tidak menjual siri animasi itu di Indonesia sebaliknya meraih pendapatan melalui jualan iklan yang ditayangkan selama lima jam setiap hari di negara terbabit.

“Kami tak jual Upin & Ipin di Indonesia. Kami kongsi semua pendapatan iklan selama lima jam tayangan Upin & Ipin di sana,” ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS