Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
KKD sudah hubungi Uqasha, dapatkan maklumat lanjut

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sudah menghubungi Uqasha Senrose minggu lalu susulan insiden menimpa suami pelakon terbabit, Kamal Adli, diserang individu tidak dikenali di Singapura baru-baru ini.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata KKD memang sentiasa mengambil tahu keselamatan artis yang bekerja di luar negara selain berharap tiada lagi kejadian seumpama itu berlaku.

“Saya ada bercakap dengan Puan Uqasha dan menyatakan kebimbangan kementerian terhadap apa yang berlaku.

“Pada ketika itu, kami juga menasihatkan sekiranya ada apa-apa perkara membimbangkan untuk dia segera membuat laporan polis.

“Kami meneliti apa berlaku, mereka ke sana untuk berniaga dan mendapatkan sedikit pengalaman untuk menjual produk sebaliknya perkata tak disangka pula berlaku,” katanya.

Fahmi berkata demikian selepas perasmian Hari Seniman Kebangsaan 2023 di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di Hulu Kelang malam tadi.

Terdahulu, bekas ketua pegawai eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzi meluahkan kekecewaan apabila tiada sebarang penjelasan mahupun kenyataan rasmi daripada pihak kerajaan berhubung isu keselamatan selebriti Malaysia di luar negara.

Katanya KKD serta Kementerian Dalam Negeri patut bertindak segera menjernihkan keadaan agar insiden itu tidak dimanipulasi pihak tertentu.

Insiden menimpa Kamal turut mencetus polemik dalam kalangan warga maya Malaysia dan Singapura.

Pada 12 Mac lalu, seorang individu disangka peminat memukul Kamal menggunakan cota sewaktu aktor itu terbabit dalam acara Hari Raya Mega Sale 2023 di Singapura.

Serangan mengakibatkan aktor itu mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala, wajah dan badan.

Hakim Daerah Singapura, Terence Tay, bersetuju dengan permohonan pendakwaraya untuk menahan tertuduh bagi direman di Institut Kesihatan Mental selama dua minggu bagi menjalani penilaian psikiatri.

Suspek disyaki terbabit dalam kes menyebabkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata berbahaya.

Jika sabit kesalahan, kesalahan menyebabkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata berbahaya di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, rotan, atau mana-mana kombinasi hukuman itu.

Fahmi berkata, KKD menyerahkan kes berkenaan kepada pihak berkuasa di Singapura memandangkan isu itu masih disiasat di republik itu.

“Ya mungkin ada beberapa aspek yang kita belum tahu sepenuhnya. Jadi KKD tunggu beberapa laporan susulan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS