Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kreatif urus pendapatan minimumkan kesan ekonomi buat Aizat

Kini hidup berkeluarga, penyanyi Aizat Amdan mengaku tugasnya sebagai suami bertambah mencabar terutama ketika perubahan ekonomi tidak menentu.

Justeru, Aizat berkata sebagai ketua keluarga, dia perlu lebih bijak merancang sumber pendapatannya agar kewangan mereka sekeluarga lebih stabil.

“Tipulah kalau nak kata tak terasa dengan situasi ekonomi sekarang. Bagi saya, tak perlu berasa malu untuk bercakap soal ini.

“Sekarang dah hidup berdua. Saya dan isteri pula baru berpindah ke rumah baru. Banyak keperluan jadi berganda.

“Jadi, saya rasa, inilah masanya untuk jadi lebih kreatif dalam menguruskan sumber kewangan peribadi dan perbelanjaan,” katanya.

Menurut penyanyi Sampai Ke Hari Tua itu, mujur ketika menjalani hidup bersendirian, dia berjaya merancang serta mengamalkan disiplin pengurusan kewangan dengan teliti.

“Nasib baik saya dah terbiasa merancang kewangan dengan baik sebelum berkahwin lagi. Kalau dah terbiasa amalkan pengurusan bajet kewangan dengan baik, insya-Allah, saya yakin semua akan OK.

“Saya anggap itu adalah kebaikan untuk saya, sebab dapat teruskan rutin sebelum ini hingga ke alam perkahwinan,” katanya.

Aizat ditemui pada majlis pelancaran single terbaru berjudul Raya, Janji Happy di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Lagu itu dinyanyikan bersama gandingannya, Asmidar yang berperanan sebagai vokalis dan Ruvi (snare) melalui band baru yang ditubuhkan, iaitu Thunderclap.

Untuk rekod, penyanyi itu mendirikan rumah tangga dengan Elyssa Alia Ilias pada 14 Ogos tahun lalu.

Mengulas soal anak, Aizat, 34, berkata, dia dan Elyssa tidak terburu-buru untuk menimang cahaya mata dan menyerahkan perkara itu kepada rezeki Allah.

Namun, penyanyi itu berkata, dia sememangnya sudah bersedia untuk bergelar seorang bapa.

“Sudah tentu, sebagai pasangan berkahwin, kami inginkan anak. Nak kata dari segi persediaan untuk menjadi bapa; saya memang rapat dengan anak buah.

“Kiranya, dah macam ada latihan awal untuk timang anaklah kerana saya banyak beri fokus pada mereka,” katanya.

Sementara itu, mengulas lagu Raya, Janji Happy, Aizat berkata, kolaborasi bersama Asmidar dan Ruvi (gambar, bawah) bertujuan memberi penghormatan kepada arwah nenek moyang mereka.

Menurut Aizat, arwah neneknya pernah meluahkan bahawa dia menyukai sekiranya Aizat menyanyikan lagu yang berentak Melayu asli.

“Opah pernah pesan agar buat lagu asli selepas dengar saya nyanyi lagu saduran Nak Dara Rindu nyanyian Allahyarham . Ramlee. Jadi ini adalah suatu penghormatan untuk arwah,” katanya.

Jelasnya, Thunderclap adalah satu band projek ditubuhkan khusus untuk membawa lagu-lagu raya.

“Disebabkan kami sering mendapat permintaan untuk menyanyikan lagu-lagu raya, maka wujudlah kumpulan ini. Ini memang projek sewaktu hari raya saja.

“Thunderclap, bermaksud halilintar, nama itu sesuai seperti mercun yang sering dimainkan sewaktu hari raya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS